Bermulanya Kehidupan menjadi HambaNYA

***

“Adoi, tak dapat tidur pula malam ni. Mata rasa segar je ni.” Rasyid mengeluh. Dia sudah berbaring selama satu jam. Terus dia bangkit dari katilnya dan menuju ke meja tempat laptopnya berada. Button ‘on’ ditekannya untuk menghidupkan laptop tersebut. Dia ingin melihat facebooknya yang kini merupakan laman web sosial yang popular.

“Ini sebab minum kopi la petang tadi. Padan muka aku dah tak dapat tidur.” Rasyid bermonolog seorang diri. Tiada sesiapa untuk dia melafazkan percakapannya. Hanya dirinya sahaja yang masih tidak tidur. Semua ahli rumahnya sudah nyenyak tidur. Ibunya memang sering tidur awal. Ayahnya pula akan terus tidur apabila pulang dari bekerja lewat malam. Dan adik-adiknya akan tidur awal memandangkan esok adalah hari persekolahan.

Rasyid merupakan anak sulung dari tiga beradik. Pelajar IPTA yang mengambil Ijazah Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan akan menamatkannya pada tahun hadapan iaitu ketika dia berumur 22 tahun. Sekarang ini musim cuti semester, jadi dia hanya menetap di rumah sementara menunggu cuti semester tamat.

Akhirnya skrin laptopnya terpapar. Dia lantas menekan icon Mozilla Firefox di desktop untuk melayari internet. Kemudian lantas dia menaip perkataan ‘facebook’ dan memasukkan username serta password di kotak yang disediakan.Terpaparlah home page Facebook. Jari-jemarinya menekan-nekan button mouse sambil menggerak-gerakkan cursor untuk melihat status-status facebook terkini.

Jam di dinding menunjukkan pukul 2.30 pagi. Rasyid memang sering tidur lewat tetapi selalunya masa sebegini dia sudah terlelap. Tetapi hari ini dia rasa segar sahaja. Matanya tidak menunjukkan reaksi untuk terlelap.

Di home facebooknya, dia hanya melihat status yang menarik sahaja. Tidak berminat untuk melihat status orang-orang yang meluahkan perasaan pelik. Rasa macam nak muntah je apabila membacanya. Benda kecil pun hendak diadukan pada semua orang.

Satu demi satu status homepage dilihatnya, dan tiba-tiba matanya tertarik dengan post link yang dibuat oleh seorang sahabatnya. Link itu di klik olehnya dan terpaparlah artikel yang bertajuk “sudah 21 tahun atau baru 21 tahun” karya HIlal Asyraf. Dibacanya artikel itu.

Bagaimanakah kita memandang umur kita?

Rata-rata remaja, terutama belasan tahun, dan awal 20-an(pemuda) memandang usia mereka ‘muda’. Apabila dibicarakan akan tanggungjawab, kematangan, keseriusan dalam hidup, melakukan sesuatu yang besar, maka jawapan-jawapan seperti berikut akan melintas:

 “Aku baru 18 tahun,”

“La, aku ni baru 20 tahun,”

Terasa muda kan? Baru. Seakan ada banyak masa lagi untuk dilengahkan, ada banyak waktu lagi untuk dibazirkan.

Tetapi siapakah remaja yang apabila umurnya mencapai 18 tahun, berkata:

“Aku sudah 18 tahun, Usamah bin Zaid RA sudah mampu menjadi Jeneral Perang ketika ini.

 “Aku sudah 20 tahun, Muhammad Al-Fateh tawan Konstantinopel pada umur 22/23.

Terasa tua. Terasa sedikitnya masa. Terasa kematangan itu sepatutnya lebih dari apa yang telah diusahakan. Terasa sepatutnya dirinya lebih serius menggunakan umur yang ada. Terasa sepatutnya dia berusaha lebih keras dan tegas bukan bermain-main dengan dirinya.

Di manakah kita? Baru atau sudah?

– Antara isi kandungan artikel karya Hilal Aysraf. –

Rasyid seakan terpukul. Ya, benar juga apa yang dibacanya. Dia juga sudah berumur 21 tahun tetapi masih bermain-main. Permainan video komputer memang sebati dengannya. Layanan movie-movie yang kini mudah untuk di download menjadi santapan harian. lagu-lagu hits menjadi kegemarannya.

“Huuhhh…” Rasyid mengeluh. Hatinya terasa sesuatu. Tetapi dia malas untuk berfikir.

Rasyid pun menutup laptopnya. Dia ingin ke katil untuk melelapkan mata walaupun masih tiada tanda dia dapat tidur. Tetapi jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Lantas dia berbaring di katilnya.

Seminit, lima minit, sepuluh minit… masih Rasyid tidak dapat tidur…

“Allah…” lafaz itu diungkap olehnya.

Entah kenapa selepas membaca artikel tadi membuat hatinya terasa lain. Hatinya seakan dipanggil olehNya. Rasa resah menyelubungi jiwanya. Sudah 21 tahun tetapi dia masih berfikiran seperti kebudak-budakan. Langsung tidak serius dalam kehidupan. Tidak matang dalam pemikiran. Tidak banyak melakukan amal kebajikan. Walaupun dia antara pelajar yang mendapat gred yang tinggi, tetapi seakan tiada apa-apa makna.

Rasyid bangun semula. Mengubah posisi badannya yang berbaring kepada duduk bersila. Dia memandang jam yang tergantung di dinding bilik rumahnya. Sudah jam 3.15 pagi. Udara masih dingin tetapi dihangatkan dengan keresahan hati Rasyid.

Kemudian Rasyid memejamkan matanya. Dia ingin menenangkan diri. Rasa gelisah di jiwanya masih belum hilang. Seperti ada sesuatu yang memanggilnya. Dia tidak mampu lagi untuk bertenang. Lantas dia bangun. Bilik air menjadi destinasinya. Pili paip dipulasnya. Keluarlah air yang jernih. Rasyid membasuh pergelangan tangan, kemudian dia berkumur, dan membasuh hidungnya. Lalu dengan lafaz niat, dia mengambil wuduk. Terasa segar.

Sejadah yang berada di sebelah almari dicapainya. Dia ingin menunaikan solat sunat. Memohon keampunan pada Sang Pencipta. Hatinya sebak. Terasa ingin menangis kerana mengingatkan apa yang sudah dia lakukan selama dia hidup ini. Penuh dengan perkara yang sia-sia. Lantas dia memulakan solatnya dengan membetulkan niat dan mengangkat tangan takbiratul ihram. Surah al-Fatihah dibacanya dengan penuh penghayatan. Tidak pernah dia rasa sebegini.

Terasa tenang.Terasa berhubung denganNya.

Dan pada sujudnya yang terakhir, Rasyid memanjangkannya dan berdoa memohon keampunan.

“Ya Allah… ampunilah dosaku ya Allah… aku banyak melakukan perkara yang sia-sia… aku banyak melanggar perintahMu… aku lalai dalam kehidupanku… aku terlupa akan kebesaranMu ya Allah… ampunilah aku ya Allah… ampunilah hambamu yang hina ini..”

Teresak-esak Rasyid berdoa. Air matanya mengalir. Air mata keinsafan dimana air matanya hanyalah untuk Allah bukan manusia lain. Terasa dirinya hina di mata Allah. Kekerdilan diri terserlah.

Dan tidak lupa juga dia mendoakan ibu-bapa, adik-beradik, saudara-mara, guru serta sahabat-sahabatnya supaya diberikan mereka keampunan dan rahmat.

“Alhamdulillah…” lafaz itu diungkapnya setelah selesai solat sunat taubatnya. Rasyid terasa sangat tenang. Hati yang pada mulanya tiba-tiba menjadi resah, kemudian apabila berhubung dengan tuhan pencipta alam melalui solat sunatnya tadi, dia menjadi sangat tenang. Hatinya terasa lapang.

Kemudian Rasyid bangkit dan melipat kain sejadah dan disangkutkan semula di sebelah almarinya. Dia terus menuju ke katil untuk tidur. Masa sudah menunjukkan jam 3.40 pagi. Sambil dia merebahkan kepalanya di atas bantal sambil dia berzikir dan tidak lupa juga dia membaca doa sebelum tidur. Tarikan graviti matanya sudah mula menjadi kuat dan akhirnya dia terlelap.

***

Allahuakbar…Allahuakbar…..

Azan berkumandang. Menandakan masuknya waktu Subuh. Panggilan kepada manusia untuk beribadat. Pada yang imannya lemah, panggilan itu tidak akan disahut. Hanya yang benar-benar beriman akan menyahut panggilan tersebut. Panggilan dari Yang Maha Berkuasa.

“Huargh…….” Rasyid menguap. Dia terjaga apabila mendengar azan Subuh yang masih lagi berkumandang. Pelik juga, sudah lama dia tidak bangun subuh seawal ini lebih-lebih lagi di awal waktu. Jam menunjukkan pukul 5.50 pagi.

“Tidur balik lah. Lagipun Subuh habis 7.00 pagi.” Bisik hati Rasyid. Begitulah kebiasaan Rasyid. Memang Subuhnya sering lewat. Dan kebanyakkannya solat Subuh ditunaikan lebih lewat lagi kerana terlajaknya tidur. Bak kata orang, itulah ‘Subuh Gajah’.

Rasyid menyarung semula selimutnya. Ingin menyambung tidur. Matanya masih mengantuk. Baru dua jam dia tidur. Tiba-tiba hatinya tergertak. Lantas dia bangun.

“Astafirullah-al-azim…” Rasyid mengulang-ulang kalimah itu beberapa kali.

“Apa aku buat ini. Aku kan sudah bertaubat. Sekarang Allah sedang memanggil aku dan sedang menguji keikhlasan aku. Wajarkah aku tidak menyahut seruan Dia.” Hati Rasyid berbicara. Dia tersedar. Matanya kembali segar. Lantas dia bangun untuk mengambil wuduk.

“Sekiranya aku tidak menyahut seruan Allah, maka aku tidak bersungguh dengan taubatku semalam. Pasti Allah tidak akan menerima taubat aku.” Sekali lagi hatinya berbicara.

Setelah selesai mengambil wuduk. Dia lantas keluar dari biliknya. Pintu rumah ruang tamu menjadi destinasi. Masjid menjadi tempat dia berhenti. Ingin dia menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Sepanjang perjalanan, dia terasa segar. Udara di subuh hari sangat menyamankan. Tidak pernah dia berasa seperti ini. Sangat tenang dan menyenangkan. Sambil dia berjalan sambil dia memuji kepada sang Pencipta.

Sesampainya dia di masjid. Dia terus menunaikan solat sunat. Dan kemudian solat Subuh ditunaikan secara berjemaah. Sepanjang dua rakaat tadi. Terasa ada rasa kekhusyukan di hatinya. Terasa lapang. Kemudian dia mengikuti wirik dan doa yang dilakukan oleh Imam masjid.

Setelah habis berdoa. Dia bersalaman. Ketika itu dia memandang sekeliling. Alangkah terkejutnya Rasyid apabila melihat hanya lapan orang sahaja yang hadir menunaikan solat ketika itu.

“Selama ini memang sedikit sebeginikah?”fikir Rasyid. Dia rasa bersalah kerana sebelum ini dia jarang solat Subuh berjemaah di masjid. Dia tahu, di dunia akhir zaman ini memang sukar untuk manusia menunaikan solat Subuh berjemaah terutamanya remaja sepertinya. Tetapi tidak sangka sampai sebegini sedikit sekali.

“Selepas ini aku akan cuba istiqamah untuk solat berjemaah di masjid.” Nekad Rasyid. Tangannya menggengam membentuk penumbuk. Menunjukkan reaksi tekadnya. Lalu dia berjalan pulang ke rumah.

Di dalam perjalanan dia melihat keharmonian. Keharmonian udara, keharmonian tumbuh-tumbuhan, keharmonian burung-burung yang hinggap di pokok-pokok dan berbagai-bagai lagi jenis keharmonian.

“SubhanAllah…hebatnya ciptaan Allah.” Rasa kagum menyelubungi hati Rasyid. Tersenyum sahaja dia melihat alam ciptaan tuhan yang Maha Esa.

Rasyid memandang langit. Kepala didongakkan ke atas.

Biru, Cerah, luas, sinaran matahari sangat mendamaikan. Angin-angin sepui bahasa mula bertiup. Ayam mula berkokok. Burung-burung berkecipan. Ada yang terbang sambil kejar-mengejar. Ada yang keluar mula mencari rezeki.

Rumahnya terletak di kawasan perkampungan. Penuh dengan tumbuhan menghijau dan haiwan penyeri alam. Sebelum ini dia tidak peduli, tetapi pagi ini dia seperti merasai sesuatu apabila melihat semua ciptaanNya.

Kagum…

Nyaman…

Tenang…

“Mulai hari ini aku akan memulakan hidup baru. Hidup untuk beribadat kepadaMu. Bantulah aku ya Allah.” Doa Rasyid.

Dan bermulalah kehidupan Rasyid sebagai hamba Allah.

***

By Muhammad Syamil

p/s : Kalau nak lebih detail tentang artikel “sudah 21 atau baru 21” boleh rujuk di link di bawah.

https://syamilsynz.wordpress.com/2011/10/15/sudah-21-atau-baru-21/.

2 thoughts on “Bermulanya Kehidupan menjadi HambaNYA

  1. Allah jugalah tempat bergantung harap. Lari macam mana pun, kita tak dapat lari daripada hakikat menjadi hambaNya. Datangnya kita sebagai hamba Allah, dan pulang nanti pun sebagai hamba.
    Keep writing and sharing!

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s