Ping-Pong Team (Episode 2)

Ping-pong Team

Episode 2 : Lagenda

Matahari masih belum terbit. Suasana di subuh hari menyegarkan. Syamil yang lengkap berpakaian sekolah menyandarkan dirinya di kerusi panjang di luar rumah. Termenung seorang diri sambil menunggu adik dan jirannya untuk ke sekolah bersama-sama. Sekolah mereka hanyalah berjarak lima ratus meter. Sekiranya berjalan kaki cuma memakan masa sepuluh minit sahaja. Setiap hari persekolahan mereka akan pergi bersama-sama.

Jam masih menunjukkan jam 6.45 pagi. Masih awal untuk menunggu jiran-jirannya. Syamil sudah bersiap awal. Termenung seorang diri. Memikirkan sesuatu.

“Sudah solat subuh belum?” Zikri adiknya menyapa. Dia juga sudah lengkap berpakaian sekolah.

“Buat lawak. Tadi solat berjemaah tu apa.” Syamil acuh tak acuh.

“Haha. Saja je bergurau. Kenapa bad mood je ni?” Zikri melabuhkan badannya ke kerusi bersebelahan dengan Syamil. Syamil mengenjakkan sedikit posisi duduknya ke kanan untuk memberi ruang kepada adiknya.

“Emm. Entahlah. Cuma terfikirkan hal semalam.” Syamil meluahkan apa yang mengganggu fikirannya. Dia dan Zikri memang selalu berkongsi apa sahaja cerita.

“Ohh..”

“Ohh je?” Syamil tidak berpuas hati dengan jawapan adiknya.

“Emm..”

“Emm pulak?” Syamil geram.

“Haa… itulah jawapan untuk masalah abang.  Terlalu ikutkan emosi.” Zikri menjelaskan. Bijak dalam memberi analogi.

“Emosi?” Tidak faham apa yang diperkatakan oleh adiknya.

“A’ah. Semalam abang kalah disebabkan oleh perang psikologi yang dibuat oleh Man. Sekiranya abang dapat mengawal emosi marah abang. Sudah semestinya perang psikolgi yang dibuat oleh Man tidak berjaya dan perlawanan semalam akan seimbang atau mungkin berpihak kepada abang.” Panjang Zikri menjelaskan. Mengimbas kembali detik-detik kekalahan Syamil malam semalam.

Syamil berfikir sejenak. Betul juga apa yang diperkatakan oleh adiknya. Semalam tidak sampai satu minit pun Hazman sudah memungut dua mata dan sekaligus memenangi perlawanan sedangkan ketika itu perlawanan berpihak kepadanya kerana adanya bantuan angin.

“Astafirullahalazim. Kenapalah aku tidak terfikir ketika itu. Semalam memang rasa nak menang cepat je. Tut-tut tiba-tiba kalah.” Syamil menyesal kerana mudah marah apabila diserang oleh perang psikologi Man.

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi SAW : ” Nasihatilah kepadaku ! ” Dijawab oleh Nabi SAW : ” Janganlah kamu marah. ” Orang itu berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah SAW mengatakan : ” Janganlah kamu marah.” 

Syamil kemudiannya menarik nafas panjang. Mengenang semula kesilapannya yang lalu. Kesilapannya yang mudah dipengaruhi oleh emosinya bukan sahaja ketika bermain ping-pong malahan ketika bersembang dengan rakan-rakannya di sekolah juga dia cepat beremosi.

“Betul juga apa yang kau katakan. Terima kasih kerana mengingatkan abang.”

“Terima kasih je. Belanjalah ais-krim pop.”

“Banyaklah kau punya ais-krim pop.” Syamil menduku kepala Zikri perlahan. Zikri mengaduh sakit walaupun hakikatnya tidak sakit. Mereka sama-sama ketawa.

***

Mata pelajaran matematik sangat memeningkan pelajar kelas tingkatan 3 Bestari. Apa yang diajar oleh guru di hadapan susah untuk difahami. Tetapi tidak bagi Zikri dan Uzair yang sering mendapat A dalam pelajaran ini.

“Cikgu kenapa perlu buat ‘Integration’ untuk soalan ini?” Uzair menanya gurunya di hadapan. Semua pelajar memandangnya tetapi Uzair tidak ambil peduli. Baginya menanya soalan adalah method terbaik untuk belajar sekiranya tidak faham. Kebanyakkan orang malu untuk bertanyakan soalan. Takut ditertawakan.

Ilmu itu didapati dengan lidah yang suka bertanya dan akal yang gemar berfikir. (Abdullah Ibnu Abbas).

Guru matematik itu lalu menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan soalan Uzair sebentar tadi. Dia berasa senang apabila muridnya bertanyakan soalan. Kelihatan murid-murid lain mengangguk. Turut memahami apa yang diterangkan.

“Terima kasih sebab tanya tadi. Aku pun tidak berapa faham sebenarnya.” Zikri membisik ke telinga Uzair. Mereka duduk bersebelahan. Uzair tersenyum sahaja.

***

Manakala di kelas Zaid pula situasinya berlainan.

“Yo… Nama aku Nazrin. Panggil aku Enn.” Nazrin pelajar baru memperkenalkan dirinya kepada rakan kelas tingkatan 6 Cemerlang . Bajunya terkeluar ke hadapan. Seluarnya koyak di bahagian lutut. Berambut panjang tidak kemas. Tidak beradab. Dia baru berpindah dari bandar ke sini minggu yang lepas dan mendaftarkan diri di sekolah ini kerana berdekatan dengan rumah .

Semua pelajar lelaki mahupun perempuan memandangnya pelik. Kedengaran beberapa orang berbisik-bisik menceritakan berkenaan penampilan Nazrin. Zaid hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Nazrin, cikgu nak selepas ini kamu jangan pakai seluar yang koyak dan potong rambut kamu itu. Masukkan baju kamu ke dalam!” Cikgu Fahmi, guru Pendidikan Jasmani menegurnya dengan tegas. Marah kerana perbuatan Nazrin yang agak tidak beradab dari segi penampilan. Lebih-lebih lagi dia pelajar baru di sini.

“Baik cikgu.” Nazrin endah tak endah teguran gurunya.

“Hari ini cikgu maafkan. Dah pergi duduk di kerusi kosong di belakang itu.” Cikgu Fahmi memberi arahan.

Nazrin melangkah ke kerusi kosong yang berada di belakang tempat duduk Zaid berada. Semua memandangnya. Tidak terkecuali juga Zaid. Ketika Nazrin melepasi Zaid, sempat dia menjeling. Mata mereka bertemu.

“Macam pernah tengok je dia ini. Tapi dekat mana?” Zaid ligat berfikir. Cuba untuk mengingati sekiranya dia pernah terserempak dengan Nazrin sebelum ini. Tetapi malangnya tetap juga dia tidak dapat mengingati.

**Rrriiiing……

Kedengaran loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat bagi pelajar dari tingkatan empat dan ke atas di Sekolah Kampung Sungai Tapah. Bagi pelajar tingkatan tiga dan ke bawah pula akan berehat pada loceng yang kedua untuk mengelakkan kantin daripada sesak.

Berpusu-pusulah pelajar lelaki mahupun perempuan ke kantin untuk menjamah makanan. Tidak terkecuali juga Zaid. Dia melangkah keluar dari bilik darjah untuk menjamu perutnya yang sudah lapar. Kemudian dia membeli bihun di salah satu gerai.

“Allah. Penuh la pulak meja.” Zaid mencari-cari meja untuk diduduki bagi menjamah bihunnya. Kemudian dia ternampak Syamil dan Hazman di salah satu meja yang terdapat di kantin. Segera Zaid melajukan langkahnya untuk duduk di sebelah mereka sebelum orang lain ambil.

“Eh Zaid? Duduklah.” Hazman mempelawa Zaid untuk duduk disebelahnya. Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Memang itu tujuan Zaid. Zaid mengucapkan terima kasih lantas mengambil tempat.

“Tadi ada pelajar baru yang masuk sama kelas dengan aku.” Zaid memulakan bicara antara mereka. Syamil dan Hazman memandang Zaid. Kemudian mereka menjamah semula laksa di hadapan yang di beli oleh mereka. Bagi mereka laksa lebih menarik.

“Dengarlah. Buat-buat tak dengar pula.” Zaid seakan merajuk kerana tidak diberi perhatian. Syamil dan Hazman geli hati.

“Siapa nama dia?” Hazman menanyakan soalan setelah menghirup kuah laksa.

“Nazrin. Aku rasa aku macam pernah Nampak dia sebelum ini lah.”

“Macam mana rupa dia?” Giliran Syamil pula bertanya.

“Emm. Ada hidung, ada telinga, ada mulut, ada mata. Hehe.” Zaid buat lawak.

“Mestilah ada semua tu..isyh2 kawan aku seorang ini.”  Syamil ketawa mendengar lawak Zaid. Tidak terkecuali juga Hazman.

“Hah! Itu pun dia.” Zaid menunjuk ke arah tempat Nazrin berada sekaligus meleraikan tawa mereka. Hazman dan Syamil menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Zaid.

“Eh? Itu bukan Nazrin ke? Pemain Lagenda dalam ping-pong .” Hazman terkejut. Dia pernah kalah dalam satu permainan ketika berlawan dengannya. Tidak sangka pula akan bertemu di sekolah yang sama.

“Lagenda?” Serentak Zaid dan Syamil bercakap. Tertarik dengan statement Hazman.

“Dia tidak pernah kalah selama dua tahun berturut-turut. Rasanya sekarang ini dia masih mengekalkan rekodnya.” Hazman menjelaskan maksudnya yang sebenar. Zaid dan Syamil memandang semula Nazrin yang duduk jauh di meja bertentangan dengan mereka.

“Hebatnya.” Sekali lagi Zaid dan Syamil bercakap serentak. Kagum dengan kehebatan Nazrin.

“Tapi dia tu tidak beradab, berlagak dan sombong.” Hazman menceritakan keburukan Nazrin.

“Isyh kau ini. Tidak baik mengumpat orang.” Zaid menegur sikap Hazman yang menceritakan keburukan Nazrin. Kemudian dia membaca sepotong ayat al-Quran.

Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela. (Surah al-Humazah, ayat 1).

“Astafirullahalazim. Maaf tidak sengaja.” Hazman insaf sambil menundukkan kepala.

“Bukan minta maaf dekat aku, tetapi dekat dia.” Zaid menunjukkan jarinya ke arah tempat Nazrin berada.

Hazman memandang Nazrin. kemudian dia memandang Zaid dan Syamil.

“Nantilah aku minta maaf. Sekarang seganlah. Hehe.” Hazman mengukir senyuman menampakkan barisan giginya. Zaid dan Syamil hanya menggelingkan kepala.

Kemudian Zaid memandang lama tempat Nazrin berada. Barulah dia teringat bahawa dia pernah ternampak Nazrin di muka surat khabar menceritakan kehebatannya.

“Lagenda ya…” Zaid berbicara di dalam hati.

***

Pap..! Pap..! Pap..!

Kedengaran bunyi pantulan bola ping-pong ke meja memecahkan kesunyian dewan badminton sekolah Da’to Ahmad Said. Meja ping-pong diletakkan di dalam dewan badminton kerana tiadanya bilik khas untuk permainan itu.

“Jangan pukul melulu!” Zaid memberi arahan. Dia merupakan presiden untuk kelab ping-pong di sekolah. Dia juga merupakan ketua pasukan mewakili sekolah.  Selepas habis sekolah dan menunaikan solat zohor, mereka akan berlatih.

Uzair menuruti. Ketika ini lawannya adalah Zikri. Mudah bagi Zikri menyambut bola yang diberi oleh Uzair. Sesekali bola yang dipukul oleh Uzair tidak mengenai meja. Tersasar jauh.

Uzair baru sahaja menceburi permainan ping-pong seminggu yang lalu. Sebelum ini dia hanya melihat mereka bermain tetapi mula timbul minat untuk sama-sama bermain apabila melihat kehebatan mereka melakukan aksi-aksi yang cantik dalam permainan ping-pong. Hari ini dia perlu berlatih. Dibantu oleh Zaid dan Zikri. Manakala Hazman dan Syamil bermain di meja yang berlainan.

“Kau kena fokus pada tempat bola mendarat.” Zikri memberi nasihat kepada Uzair. Uzair mendengar.

“Fokus, focus, fokus.” Uzair mengulang-ulang nasihat yang baru diterima olehnya.

Pang! Uzair menahan bola yang baru diterima olehnya. Meluru laju ke meja sebelah kanan Zikri. Zikri terkejut tetapi berjaya membalas semula. Bola mendarat ke sebelah kanan Uzair. Belum sempat bola melantun lebih tinggi uzair sudah memukulnya dengan gaya seperti menahan. Pantas. Bola menuju semula ke arah meja Zikri. Zikri membalas semula. Sekali lagi Uzair menahan dan membalas dengan lebih laju. Terus-menerus Uzair menahan dengan dibalas lebih laju. Uzair merupakan pemain tangan kiri. Bola yang dibalasnya agak rumit untuk dibaca.

Zikri memerhatikan kedudukan Uzair. Uzair berdiri betul-betul di hadapan meja ping-pong tanpa ada jarak antaranya. Zikri mendapat idea. Dia lantas memukul bola ke bahagian tengah badan Uzair dan mendarat betul-betul di hujung meja. Uzair terpaksa mengundurkan diri beberapa tapak tetapi tidak sempat menyambutnya. Bola yang dibalas oleh Zikri terlalu laju!

“Bagus-bagus. Ada peningkatan dari segi pertahanan.” Zaid memuji-muji Uzair. Uzair cepat mahir walaupun baru seminggu bermain.

“Nampaknya kita dah ada fast learner di sini.” Zikri juga memuji. Uzair malu di puji sedemikian walaupun pusingan sebentar tadi dia kalah.

**Tap..Tap..Tap..

Kedengaran bunyi tepukan dibuat oleh seseorang yang memasuki pintu dewan. Semua memandangnya. Orang tersebut melangkah ke tempat Zaid berada dengan angkuhnya. Kemudian dia berdiri betul-betul dihadapan Zaid.

“Assalamualaikum Nazrin.” Zaid mengangkat tangannya. Menyapa mesra. Nazrin tidak membalas. Kemudian dia menghulurkan jarinya ke hadapan muka Zaid.

“Aku dengar kau kapten untuk permainan ping-pong. Betul ke?” Nazrin bertanya angkuh. Zaid hanya senyum. Suasana di dewan sunyi sebentar. Masing-masing berhenti bermain untuk melihat apa yang terjadi. Hazman dan Syamil berlari ke arah tempat mereka berada.

“Mulai sekarang aku akan mengambil alih tempat kau. Setelah aku kalahkan kau.”Nazrin mencabar Zaid. Angkuh.

“Jangan Zaid. Dia ini lagenda.” Hazman memberi peringatan.

“Lawan je dia.” Zikri bersuara. Semua yang berada di situ memandangnya.

“A’ah. Lawan je dia. Bagi dia sedar sikit.” Syamil juga bersuara. Semua menoleh memandangnya pula.

“Weh. Dia itu lagenda kau tahu.” Hazman berbisik-bisik kepada Syamil.

“Kau tak tahu ke kapten kita ini pun lagenda juga.”

“Dia mana pernah kalah setahun sebelum ini.” Zikri menambahkan keyakinan Hazman. Hazman terpaku.

“Lawan kapten! Lawan!” Kedengaran semua yang hadir di situ memberi sorakan kepada kapten mereka. Berharap Zaid menyahut cabaran dari Nazrin.

“Nampaknya kau hebat juga.” Nazrin memerli.

“Aku tak hebat. Allah lah yang hebat.” Zaid berbicara yakin. Nazrin mengetap bibir. Seakan perliannya dikembalikan.

“Cis! Cepatlah lawan dengan aku! Berlagak alim konon.” Nazrin naik berang. Dia lalu berjalan ke arah meja ping-pong bersebelahan. Tangannya sudah memegang bad ping-pong khas untuk dirinya. Zaid tenang  lantas mengambil tempat yang bertentangan. Meja dikelilingi oleh beberapa orang sebagai penonton. Perlawanan seperti ini amat jarang berlaku. Perlawanan mempertahankan kewibawaan!

***

“Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Pengasih.” Zaid memulakan servisnya dengan bacaan bismillah. Baginya setiap apapun pekerjaan perlulah dimulakan dengan menyebut nama Allah. Berhubung dengan Allah adalah perkara asas dalam setiap perkara.

Servis Zaid. Bola di pukul dengan laju. Meluru ke meja pihak lawan dengan pantas.

“Servis mudah.” Nazrin mempersendakan servis yang dilakukan oleh Zaid. Bersiap sedia untuk membalas semula servis tersebut. Dia berhasrat untuk mendapat mata hanya dengan satu pukulan sahaja. Ingin menunjukkan kepada semua orang kehebatan dirinya. Yakin.

Bola menuju ke sebelah kiri meja Nazrin. Nazrin sudah pun berada di posisi sebelah kiri. Bersedia membalas dengan sepenuh tenaga.

Pang! Bola melantun ke kanan dengan laju. Ke arah yang berlawanan! Nazrin tidak bergerak. Kaku.

“Woohhh!!!” Kedengaran bunyi sorakan bergema di dalam dewan badminton. Beberapa orang yang berada di luar terdengar dan memasuki dewan untuk melihat apa yang terjadi.

“Terbaiklah kapten!” Salah seorang penonton melaungkan kata semangat.

Ketika melakukan servis tadi Zaid telah pun melakukan sedikit spin kepada bola dengan laju tanpa diperasan oleh sesiapa pun yang melihatnya. Hasil daripada spin tersebut telah mengubah arah lantunan bola ke arah yang berlawanan. Skill ini dinamakan ‘Twist Spin Serve’.

1-0.  Zaid mengira. Nazrin mengetap bibir. Geram.

[Zaid] Twist Spin Serve

[Zaid] Twist Spin Serve

**bersambung…

One thought on “Ping-Pong Team (Episode 2)

  1. Pingback: Ping-Pong Team (Episode 3) « Syabab Musafir

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s