Ping-Pong Team (Episode 4)

Three members

Episode 4 : Pemilihan Semula

Tiga hari berlalu setelah peristiwa perlawanan antara Zaid dan Nazrin. Pada mulanya murid-murid sekolah memang hangat membualkan berkenaan peristiwa tersebut tetapi akhirnya reda seperti biasa. Tiada lagi yang mengata berkenaan dengan peristiwa tersebut. Ini kerana sikap Zaid yang menunjukkan akhlak yang baik sekalligus membuatkan mereka menghormatinya.

“Dialah yang gaduh semalam.”

“Muka nampak alim tetapi masih pandai bergaduh.”

“Macam tidak percaya sahaja Zaid yang sentiasa bagi tazkirah itu bergaduh.”

Antara cacian dan umpatan yang dikeluarkan oleh orang ramai sebelum ini kepada Zaid. Mujur sahaja Zaid mempunyai sahabat-sahabatnya yang sentiasa memberi semangat kepadanya. Kalau tidak mungkin dia sudah tidak dapat menahan kesakitan menerima cacian dan umpatan dari orang ramai.

“Sabar Zaid. Berdoalah pada Allah.” Syamil menepuk-nepuk bahu Zaid. Ketika ini mereka baru pulang dari sekolah sehari selepas kejadian.

“Kau hanya perlu bersabar dan tunjukkan akhlak kepada mereka. InsyaAllah, lepas ini penatlah diorang mahu buka mulut pasal kau lagi.” Hazman menambah.

“Terima kasih. Kamu semualah sahabat aku dunia akhirat.” Zaid menundukkan kepala. Terharu kerana mempunyai sahabat seperti mereka.

“Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik.” (Surah al-Ma’aarij, ayat 5)

Dan tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya  akan Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghafir, ayat 60)

Berkat kesabaran Zaid dan berkat kesungguhan Zaid yang menunjukkan akhlak yang baik dengan meminta maaf kepada semua orang dan dengan sentiasa menghulurkan senyuman apabila mendengar orang mengumpatnya membuatkan semua orang tidak lagi membincangkan hal tersebut malahan semua mula menghormatinya.

Dan dalam masa hanya tiga hari sahaja semua orang tidak lagi membincangkan hal tersebut.

***

“Sabtu dan ahad minggu hadapan akan diadakan pemilihan wakil sekolah untuk bermain di peringkat daerah. Hanya lapan pemain sahaja akan dipilih. Di harap semua dapat mendaftarkan diri dan turut serta bertanding.” Zaid sebagai ketua pasukan membuat pengumuman kepada ahli-ahli kelab ping-pong. Mereka baru sahaja habis berlatih dan kemudian duduk berkumpul bersama.

Salah seorang ahli kelab mengangkat tangannya. “Kapten, macam mana dengan pemain sekolah yang sebelum ini?” Semua memandangnya. Bertubuh kecil. Seorang pelajar baru yang berambut kerinting.

“Semua pemain sekolah sebelum ini akan dibubarkan dan juga akan mengambil bahagian dalam pemilihan ini. InsyaAllah, semua orang akan diberi peluang untuk menjadi wakil sekolah yang baru pada tahun ini.” Zaid memberikan penjelasan.

Suasana riuh sebentar. Masing-masing berminat untuk menyertai pemilihan wakil sekolah yang baru. Di awal tahun ini bukan sahaja sukan ping-pong yang akan melakukan pemilihan wakil baru tetapi sukan lain seperti bola sepak, badminton dan catur juga akan melakukan perkara yang sama. Ini untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar baru untuk menunjukkan bakat mereka.

“Huh… Nampaknya kita dibubarkan.” Syamil mengeluh.

“Ai, orang hebat pun takut ke?” Hazman cuba menyakat.

“Yela, hari itu kan baru kalah.” Zikri juga turut mengambil bahagian.

“Cis, pantang orang cakap aku penakut. Tengoklah, aku akan kekalkan posisi aku sebagai pemain sekolah.” Syamil mengengam tangannya membentuk penumbuk.

“Apalah, baru tadi mengeluh, sekarang tiba-tiba semangat pula.” Hazman menumbuk perut Syamil perlahan. Syamil mengaduh. Mereka bertiga kemudian ketawa.

Pemain sekolah pada tahun lepas yang masih kekal hanyalah Zaid, Syamil, Hazman dan Zikri. Pemain sekolah yang lain sebelum ini sudah pun tamat pengajian memandangkan mereka di tingkatan lima. Dan Zaid diberi tanggungjawab sebagai kapten baru memandangkan dia antara yang tua sekali.

“Aku mesti menjadi wakil sekolah. Aku mesti menjadi wakil sekolah.” Uzair berbisik di dalam hati. Ayat itu di ulang-ulang olehnya beberapa kali.

“Baiklah, kepada sesiapa yang berminat boleh memberi nama kepada saya sebelum sabtu hadapan.” Zaid membuka bicara. Semua ahli kembali senyap.

“Ada apa-apa soalan lagi?”

Semua hanya berdiam. Tiada soalan.

“Baiklah, kita tamatkan latihan kita dengan tasbih kifarah dan surah al-Asr. Semoga Allah memberkati latihan kita pada hari ini.” Zaid menamatkan latihan mereka.

Begitulah setiap kali latihan tamat, mereka akan memohon ampun kepada Allah sekiranya sepanjang latihan, mereka ada melakukan kelalaian dan berharap apa yang mereka lakukan hari ini diredhai olehNya.

Kemudian semua ahli beransur keluar dari dewan.

“Zikri!” Uzair menyapa Zikri yang sedang menuju keluar ke pintu dewan. Syamil dan Hazman sudah pun berlalu keluar.  Zikri mengangkat keningnya menunjukkan reaksi bertanya.

“Tolong latih aku supaya aku boleh mewakili sekolah.” Uzair meluahkan hasratnya.

Zikri hanya tersenyum lalu meletakkan tangannya ke bahu Uzair. Kemudian mereka berjalan seiringan.

“No problem.” Zikri memberi jawapan sekaligus membuatkan Uzair juga tersenyum.

“Terima kasih.” Uzair berkata perlahan.

***

Nazrin berjalan perlahan menuju ke puncak bukit berdekatan dengan kawasan perumahannya. Dia menaiki motosikal bapanya. Walaupun dia tidak memiliki lesen memandu tetapi dia sudah tahu bagaimana mahu menunggang. Motosikalnya sudah diletakkan di sebelah dari tempat dia berdiri. Malam itu cuaca sejuk diikuti oleh angin kencang. Bulan juga tidak kelihatan. Dilitupi oleh awan gelap.

“Argh!!!” Nazrin menjerit sekuat hati. Tiada siapa yang mendengar.

“Argh!!!” Sekali lagi dia menjerit sekuat hati sehingga suaranya habis.

Kemudian dia menangis teresak-esak sambil tangannya menggengam dada. Di dalam hatinya penuh dengan rasa kesakitan. Kesakitan yang dia sendiri tidak tahu apakah ia. Kesakitan yang sudah bertahun lamanya disimpan.

“Nazrin, aku minta maaf berkenaan hal semalam.” Zaid menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Ketika itu sudah tamat persekolahan. Nazrin hanya melihat tangan yang dihulur.

“Heh, kau sudah kalah dengan aku lebih baik jauh dari aku.” Nazrin ingin berlalu  pergi tetapi tangkas tangan Zaid mencapai bahunya.

“Kau mahu apa lagi?” Dingin Nazrin bersuara.

“Aku ingin berkawan dengan kau.” Zaid meluahkan perkara yang sebenar.

“Berkawan?” Nazrin sedikit terkejut dengan luahan Zaid. Dia baru sahaja dimalukan olehnya tetapi sekarang ingin berkawan pula.

“Kau nak kenakan aku ke? Nak balas dendam sebab kalah dengan aku semalam?”

“Bukan sebab itu.”

“Oh? Habis tu?”

“Sebab aku tahu…”

“Tahu apa?”

“Aku tahu kau keseorangan. Sebab itu aku mahu berkawan dengan kau dan berkongsi apa sahaja dengan kau.”

Tersentap Nazrin mendengarnya. Membisu sebentar.

“Aku tidak perlukan kawan.” Egonya mengatasi diri. Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan Zaid.

*Keesokan harinya…

“Apa lagi kau mahu? Aku tidak mahu berkawan dengan kau. Tidak faham bahasa ke?” Sekali lagi Zaid menyatakan hasratnya selepas kelas tamat.

“Walaupun kau tidak ingin berkawan dengan aku tetapi aku ingin berkawan dengan kau.” Zaid menghulurkan senyuman.

Nazrin memandang wajah Zaid. Wajah yang ikhlas tanpa ada dendam satu pun.

“Kau hanya membuang masa.” Sekali lagi egonya mengatasi diri.

**Seminggu selepas itu

“Kau masih tidak berputus asa?!” Nazrin bersuara dingin. Kali ini dia betul-betul marah.

“Tidak.” Zaid hanya tersenyum. Ketika ini mereka berada di luar sekolah untuk pulang ke rumah. Hazman, Syamil, Zikri dan Uzair juga bersama.

“Nazrin, kami mahu minta maaf.” Uzair bersuara mewakili tiga yang lain. Nazrin hanya berdiam dan memandang mereka. Seperti hari sebelum ini mereka juga turut ada dan mengatakan perkara yang sama.

Kemudian dia berlalu pergi. Zaid tangkas menangkap tangannya. Sejurus itu Nazrin terus melibas tangannya membuatkan Zaid terpaksa melepaskan tangannya.

“Kenapa kamu semua mahu berkawan dengan aku?!” Nazrin bersuara kuat. Bingung dengan tindakan mereka yang tiba-tiba mahu menjadi kawannya dan tidak berputus asa.

“Kerana kami ingin berukhwah denganmu dan bercita-cita untuk masuk syurga bersamamu. InsyaAllah, kami tidak mengharapkan balasan darimu tetapi kami mengharapkan balasan dari Allah.” Mereka berlima bersuara serentak sambil mengukir senyuman menampakkan barisan gigi. Ikhlas.

Nazrin terkenangkan semula apa yang berlaku kepadanya selama seminggu ini. Fikirannya terganggu dengan tindakan dari mereka. Tidak berputus asa mendekatinya walaupun sudah dimarahi dan dimaki. Selama ini tiada siapa pun yang ingin berkawan dengannya. Semua orang menjauhkan diri kepadanya membuatkan dirinya terasa sunyi. Terasa asing. Tetapi kemunculan mereka berlima membuatkan dia terasa sesuatu. Terasa kemunculannya dihargai.

“Ukhwah? Sampai ke syurga?” Nazrin tidak memahami.

***

Sibling match

Uzair menjalani latihan yang diberi oleh Zikri seperti biasa. Kebetulan Syamil, Hazman dan Zaid tidak dapat ikuti kerana mempunyai kerja sekolah yang perlu dihantar esok. Syarat mereka untuk bermain adalah dengan menyiapkan semua kerja sekolah dan menunaikan solat Isyak dahulu, barulah dibenarkan bermain. Selalunya kerja sekolah disiapkan di petang hari tetapi hari ini mereka mempunyai banyak kerja sekolah berbanding dari yang biasa. Hanya Zikri dan Uzair sahaja yang bermain.

“Baiklah Uzair, kita panaskan badan dahulu.” Zikri mengajak.

“Okeh.” Uzair menuruti. Mereka kemudian menuju ke  meja ping-pong. Bad sudah berada di tangan. Zikri kemudian mengambil kapur lalu melukis bulatan kecil di mejanya.

Uzair kemudian melakukan servis. Dia perlu memukul bola dan jatuh betul-betul mengenai lubang yang dilukis oleh Zikri. Latihan ini telah berjalan selama seminggu. Ini bertujuan untuk melatih mengawal arah tujuan dan tempat bola itu mendarat. Pengawalan bola sangat penting bagi memastikan bola yang dipukul tidak terkeluar dari meja.

Setengah jam mereka melakukan latihan yang sama. Setiap kali bola yang dipukul mendarat di dalam bulatan, mereka akan membuat kiraan. Dan setelah setengah jam berlalu. Mereka pun berhenti untuk berehat.

“149 kali. Bagus ada peningkatan.” Zikri menepuk-nepuk bahu Uzair. Uzair hanya berdiam. Badan mereka dibasahi oleh peluh.

“Alhamdulillah, terima kasih sebab banyak tolong aku.” Uzair mencapai botol air yang dibawa olehnya lalu meneguk air laju-laju. Kehausan.

“Aku rasa kau dah boleh kawal bola dengan baik. Lepas ini kita belajar untuk melakukan serangan pula.” Zikri juga meneguk air dari botolnya.

“Pemilihan cuma tinggal dua hari sahaja lagi. Boleh ke aku menang?” Uzair seakan berputus asa. Terasa masa yang dia ada sekarang ini tidak mencukupi untuk dia berlatih.

“Jangan berputus asa Uzair. Kita perlu berusaha sehabis mungkin. Untuk menjadi wakil sekolah perlulah berusaha mendapatkannya.”  Zikri cuba memberi semangat. Kemudian dia membaca sekeping ayat al-Quran.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri yang mengubahnya…” (Surah ar-Ra’ad, ayat 11)

Uzair menjadi semangat semula apabila mendengar ayat yang dibaca oleh Zikri. Ayat itu sudahpun diketahui olehnya tetapi apabila keluar dari mulut sahabat sendiri terasa ada aura lain yang menyusup ke dalam hati.

“Jom berlatih, kali ini kita lawan.” Uzair semangat. Zikri tersenyum melihat sahabatnya kembali pulih.

“Baik, tetapi jangan ingat aku akan bagi belas kasihan.” Mereka menuju semula ke arah meja ping-pong.

Uzair melakukan servis dahulu. Bola dibalas oleh Zikri dengan baik ke arah meja lawan. Seperti biasa, Uzair menahan bola tersebut sebelum bola itu melantun lebih tinggi. Skill ini dinamakan ‘Rising Shoot’ kerana pengguna memukulnya dengan pantas sebaik sahaja bola mendarat ke meja sebelum sempat bola itu melantun lebih tinggi.

Bola menuju dengan pantas ke meja Zikri. Zikri memukul bola tersebut betul-betul ke arah hujung meja sebelah kiri Uzair. Uzair terpaksa berundur selangkah ke belakang untuk mengambilnya, akan tetapi apabila bola itu mengenai meja, terus meluru laju dengan deras. Ini kerana Zikri baru sahaja menghasilkan spin kepada bola sebentar tadi.

Uzair tidak ingin berputus asa. Dia sempat menahan bola tersebut tetapi badannya terjatuh kerana hilang keseimbangan. Bola meluru ke meja Zikri.

“Bahagian kanan kosong.” Zikri berbicara dalam hati. Lantas dia memukul bola tersebut ke arah meja kanan Uzair.

Uzair merupakan kidal iaitu pengguna tangan kiri. Mustahil baginya untuk menyambut bola dari arah kanan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dia baru jatuh. Zikri yakin akan memperolehi mata.

“Aku tidak akan berputus asa!”  Uzair terus bangkit dan memusingkan badannya, lantas memukul bola tersebut dengan laju.

Bola masuk ke meja Zikri. Zikri tergamam.

“Skill itu ialah…”  Zikri seakan tidak percaya.

***

Sehari sebelum pemilihan dibuat. Hari terakhir bagi sesiapa yang ingin mendaftarkan diri. Setakat ini seramai 19 peserta yang mengambil bahagian.

“Nampaknya Nazrin tidak mendaftarkan diri.” Hazman membaca borang pendaftaran di atas meja yang diduduki Zaid. Tiada nama Nazrin.

“Hari ini hari terakhir pendaftaran. Aku nak dia jadi salah seorang wakil sebab dia terer.” Syamil menyambut borang yang di pegang oleh Hazman. Hazman hanya membiarkan sahaja.

“Jangan risau. Dia akan daftar juga.” Zaid bersuara yakin.

“Mana kau tahu?” Syamil pelik dengan kenyataan Zaid.

“Tu dia.” Zaid memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah tempat Nazrin berada. Kelihatan Nazrin berjalan menuju ke arah  mereka.

“Assalamualaikum, Nazrin.” Mereka bertiga memberi salam mesra. Seakan sudah lama berkenalan.

Nazrin tidak menjawab salam.

“Mana tempat nak isi borang?” Nazrin bertanya. Zaid lalu memberi borang kepadanya. Setelah namanya di isi, dia berlalu pergi.

“Nazrin.” Nazrin menoleh ke arah belakang apabila namanya dipanggil sebelum sempat dia beransur.

“Semoga berjaya untuk pemilihan esok.” Zaid memberi kata-kata peransang.

“Terima kasih.” Respon yang tidak disangkakan oleh mereka. Dia kemudian berlalu pergi.

Zaid, Syamil dan Hazman memandang antara satu sama lain. Kemudian mereka senyum.

Ada harapan.

***

Hari yang dinantikan tiba. Perlawanan berlangsung di dewan badminton sekolah. Sebanyak empat meja ping-pong disediakan. Seramai 20 peserta yang mengambil bahagian. Setiap pemain akan diletakkan ke dalam 4 kumpulan yang berlainan. Setiap kumpulan pula akan diletakkan sebanyak 5 orang ahli dan akan berlawan sesama mereka. Dan dua pemain terbaik untuk setiap kumpulan akan dipilih menjadi wakil sekolah.

Kumpulan A

Kumpulan B

Kumpulan C

Kumpulan D

Zikri

Nazrin

Hazman

Syamil

Zaid

Uzair

“Kau kumpulan mana?” Azim pelajar tingkatan satu, bertubuh sedikit tegap menanya kawan baik disebelahnya.

“Kumpulan C. Kau?” Shah menanya semula. Dia berambut kerinting dan bertubuh biasa. Juga pelajar baru tingkatan satu.

“Kumpulan B.” Azim menjawab ringkas.

“Boleh ke kita menang?” Shah menanya lagi. Dia kurang berkeyakinan.

“Jangan risau. Mereka tidak tahu kekuatan kita.” Azim cuba menenangkan rakan sepermainannya sejak kecil itu.

“Baik.” Mereka kemudian berlalu pergi.

***

Partner

Sebelum perlawanan dimulakan. Mereka semua membaca doa diketuai oleh Zaid, memohon supaya pemilihan berjalan dengan lancar dan diredhai olehNya. Setelah itu perlawanan pemilihan 8 orang wakil dimulakan.

Pada perlawanan pertama dan kedua mudah bagi Hazman, Syamil, Uzair, Zikri, Zaid dan Nazrin menumbangkan pihak lawan lantas mencatatkan kemenangan berturut-turut. Kesemuanya mengumpul dua kali kemenangan.

“Wah, sekejapnya kau menang. Hebat lah.” Uzair memuji Zikri. Setiap perlawanan Zikri hanya berlangsung 5 minit sahaja.

“Alhamdulillah.” Zikri tidak bangga. Segala pujian semuanya dikembalikan kepada Allah.

“Tengoklah adik siapa. Hehe” Syamil mengusap-ngusap kepala Zikri. Zikri tangkas mengalih kepalanya daripada diusap.

“Ohh, kau pun menang semua jugakan? Uzair menanya Syamil pula.

“Mestilah dia menang. Orang hebat ni.” Hazman datang menyampuk sebelum sempat Syamil menjawab.

“Baiklah, selepas ini menang satu perlawanan sahaja lagi sudah layak menjadi wakil.” Syamil menggengam penumbuk. Tiga kemenangan sudah memadai untuk mendapat tempat dua terbaik di dalam kumpulan.

“Jangan yakin sangat. Cuba abang tengok dua orang itu.” Zikri menunjuk ke arah satu tempat.

Semua memandang ke arah yang ditunjuk Zikri. Kelihatan dua pelajar tingkatan satu. Azim dan Shah.

“Mereka juga menang kesemua perlawanan. “ Zikri menambah.

“Tidak silap aku Hazman dan Syamil akan berlawan dengan mereka selepas ini kan?” Uzair memandang Zikri, meminta kepastian.

“A’ah, tetapi yang menakutkan ialah mereka baru tingkatan 1 tetapi sudah mengalahkan dua pemain tingkatan 5 dengan mudah.” Zikri memberi penjelasan. Oleh kerana perlawanan dia tamat awal, dia dapat melihat perlawanan pemain lain. Dan antara perlawanan yang dia sempat lihat adalah prelawanan Azim dan Shah.

Syamil dan Hazman memerhati Azim dan Shah tanpa berkata apa.

“Aku tidak akan kalah.” Kedua-duanya berkata di dalam hati.

Perlawanan ketiga akan dimulai. Antara berlawanan yang paling hangat di dalam kumpulan B dan C. Menentukan siapa yang akan menjadi orang pertama melayakkan diri menjadi wakil sekolah.

“Assalamualaikum senior.” Shah memberi salam dan menghulurkan tangan. Tanda hormat.

“Waalaikumsalam.” Syamil menyambut salam. Mereka kemudian mengambil tempat. Begitu juga dengan Hazman dan Azim.

Hazman vs Azim.

Syamil vs Shah.

“Baiklah perlawanan pusingan ketiga untuk kumpulan B dan C bermula!” Salah seorang penjaga gelanggang membuat pengumuman.

Azim dan Shah lalu melakukan servis mereka. Serentak.

**bersambung…

p/s : Terima kasih kepada sesiapa yang menolong memberi idea. Semoga Allah redha. (^_^)v

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s