Jatuh dan Jatuh Lagi

Jatuh

“Astafirullahalazim…” Naufal berisghtifar. Teresak-esak dia menangis. Memohon keampunan kepada sang pencipta.

Naufal baru sahaja melakukan dosa besar. Perbuatan mungkar yang sangat tidak disukai Allah. Entah ini yang keberapa kali dia lakukan.

“Ya Allah, ampunilah aku. Ampunilah aku. Ampunilah aku.” Doa Naufal. Memohon belas kasihan dari Allah. Tersedu-sedu dia berdoa. Air mata bergelinang membasahi pipi.

Naufal bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

“Ya Allah, aku berjanji…” Ayat Naufal terhenti. Menahan pilunya hati.

“Aku berjanji tidak akan mengulangi lagi dosa ini.”

“Ampunilah aku…” suaranya terhenti sekali lagi. Air mata keluar lebih laju.

“Terimalah taubatku ini.” Sambungnya. Sungguh. Dia menyesal akan perbuatannya. Dia bertaubat tidak akan mengulangi lagi dosa besar ini.

Selesai sahaja doanya kepada Allah. Dia lalu bangkit dari sujudnya. Doa sebentar tadi dilakukan di dalam sujud. Naufal lalu memberi salam.

“Astafirullahalazim…” Berulang-ulang dia mengulangi ayat istighfar sekali lagi.

Selesai sahaja dia bermunajat kepada Allah. Dia lalu bangkit dan kembali ke tempat tidurnya. Matanya lebam dek kerana banyaknya menangis. Kemerah-merahan. Tetapi ada sesuatu yang menghiburkannya.

Ya. Hati Naufal kembali menjadi tenang.

Tenang setenang-tenangnya. Itulah kelebihan taubat. Itulah kelebihan orang yang berdoa memohon ampun kepada Allah.

Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”  (surah Ali ‘Imran 135-136)

***

Taubat

Hari berlalu hari. Naufal menjalani kehidupannya seperti biasa. Makan, minum, tidur, solat, belajar,  keluar jalan-jalan dengan kawan dan aktiviti-aktiviti yang lain.

Begitulah rutin hariannya.

Sehingga sampai ke suatu saat. Tanpa dia sedari dia terjatuh.

Melakukan semula dosa yang pernah dia bertaubat tidak mahu mengulanginya.

Melakukan semula dosa besar yang pernah dia berjanji dengan Allah tidak mahu mengulanginya.

Akan tetapi dia lalai dan alpa. Kembali semula melakukan dosa tersebut. Terus sahaja Naufal berisghtifar tanpa berlengah.

“Setiap anak cucu Adam pernah melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Dan malam itu dia bermunajat kepada Allah. Memohon ampun. Memohon belas ihsan dari Allah.

Terasa hina. Terasa dirinya hina di mata Allah. Memungkiri janji yang pernah di janji olehnya dahulu. Melakukan dosa yang pernah dia bertekad tidak mahu melakukan lagi.

Tetapi hari ini dia jatuh.

Hari ini dia mengulangi semula dosa besar tersebut.

“Astafirullahalzim…” Naufal berisghtifar. Solat sunat taubat dilakukan. Sekali lagi Naufal menangis teresak-esak.

Sekali lagi Naufal memohon ampun kepada Allah.

Takut. Dia sangat berasa takut dengan dosa yang baru sahaja dilakukannya. Dosa yang sama. Sungguh. Allah tidak redha dengan dosa besar. Hatta dosa kecil juga Allah tidak redha.

Naufal menangis. Menyesali perbuatannya.

“Ya Allah, hambamu ini sudah melakukan dosa. Aku lalai. Aku alpa.  Kasihanilah aku. Ampunilah aku.” Nafas Naufal tersekat oleh kerana tangisannya.

“Ya Allah yang maha pengampun. Yang maha pengasih. Yang maha penyayang. Sungguh, hanya kepada-Mulah tempat aku kembali. Hanya kepada-Mu lah tempat aku memohon ampun. Ampunilah dosa-dosaku. Dan Engkau tunjukkanlah aku jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau redhai.” Doa Naufal.

Dia berjanji tidak akan mengulangi dosa ini lagi. Dia bertaubat. Taubat sebenar-benar taubat. Taubat nasuha.

“Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (surah al-Zumar, ayat 53)

***

Taubat

Hari berlalu hari. Masa berjalan dengan begitu pantas. Perjalanan kehidupannya diharungi dengan penuh liku-liku.

Sampai ke suatu masa. Naufal jatuh semula. Dosa yang sama dilakukannya.

Dosa yang pernah dia berjanji tidak mahu mengulanginya!

“Ya Allah, manusia jenis apakah aku ini?” Monolog Naufal. Dia berasa kesal. Entah ini yang keberapakali dia mengulangi kesilapannya.

Terasa lemah. Terasa diri tidak bermaya untuk menjalani kehidupan ini. Perit rasanya hati.

“Adakah Allah masih menerima aku?” Bisik hati Naufal. Terasa hatinya mati. Terasa hatinya tidak tenteram.

Naufal lalu melangkah longlai. Berjalan mengambil wuduk. Kemudian Al-quran mini yang disertai terjemahan miliknya dibuka. Dia lalu menyelak muka surat secara rambang. Ingin menenangkan hati.

Ayat di dalam muka surat tersebut dibacanya. Kemudian dia membaca terjemahannya pula.

 “Dan sesungguhnya, apabila hamba-hamba-Ku bertanya tentang-Ku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka menurut perintah-Ku dan beriman kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Terus sahaja air mata Naufal berlinang apabila membaca ayat tersebut. Teresak-esak. Seakan-akan itulah jawapan Allah kepadanya. Simpati Allah kepadanya.

“Astafirullahalazim…” Naufal memohon ampun. Kalimah itu di ulangi sehingga dia puas.

Naufal lalu menunaikan solat sunat taubat. Bermunajat kepada Allah.

Hatinya kembali tenang.

***

Sungguh. Rahmat Allah meliputi segalanya.

Sungguh. Pengampunan Allah meliputi segalanya.

Wahai manusia, Apabila kamu melakukan dosa, hendaklah kamu segera bertaubat kepadaNya. Dan janganlah kamu berputus asa dengan rahmatNya. Walaupun kamu melakukan dosa yang sama berulang-ulang.

Sehingga dalam hadis, Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Aku ampunkan dosanya.

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Aku ampunkan dosanya.

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sumber Rujukan: Jalan Pulang ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s