MEREKA mengenali dan DIA tidak mengenali

Image

Petang itu aku merehatkan diri di taman halaman rumahku. Meja dan kerusi yang sedia ada dijadikan tempat istirehat. Aku ingin menenangkan fikiran dari memikirkan hal-hal kerja di pejabat dan hari ini adalah hujung minggu, maka aku perlu memanfaatkan sisa-sisa cutiku dengan baik supaya aku lebih bersedia untuk memulakan kerja pada keesokkan harinya.

Aku menghirup teh O panas yang sudahpun sedia ada di atas meja. Cawan di angkat lalu teh O dihirup sedikit. Panas tetapi mengasyikkan. Kemudian, ku letakkan semula cawan tersebut di atas piring.

Aku mendongak kepalaku ke atas. Melihat awan bergerak mengikut arus angin. Udara petang dan cuaca yang redup disertai dengan hembusan angin sepui-sepui bahasa mengasyikkan lagi suasana.

Lama aku mendongak. Fikiranku meraung jauh. Memikirkan semula perjalanan hidupku sebelum ini. Entah kenapa aku terfikirkan mereka yang dulunya hadir dalam hidupku.

Kenangan zaman dahulu diimbas.

Di zaman sekolah menengah dahulu.  Memandangkan sekolahku adalah sekolah bukan campur, maka hanya ada lelaki sahaja yang menjadi pelajar di situ, tidak termasuk tingkatan enam bawah dan enam atas serta guru wanita.

Dan di sekolah tersebut, aku tidak mengenal mana-mana wanita pun sehinggalah di tingkatan empat, aku mula ditakdirkan berjumpa dengan pelajar wanita di sekolah yang berlainan.

Kami berdua mula mengenali satu sama lain. Berkongsi cerita dan pengalaman. Dalam masa sebentar sahaja kami mula rapat dan berSMS selalu. Kemudian, semakin hari semakin timbul perasaan cinta dan sayang kepada pelajar wanita tersebut.

Lalu ku luahkan perasaanku kepadanya. Aku yakin aku akan diterima memandangkan kami sudah saling berkenalan. Walaupun mungkin tidak lama, tetapi sekurang-kurangnya aku yakin dengan diriku bahawa aku bisa setia padanya.

Aku ditolak. Alasannya kerana aku terlalu baik untuknya. Kami mula putus hubungan. Tidak lagi berhubung dan SMS.

Aku hairan kenapa aku ditolak sedangkan kami berdua sudah saling mengenali antara satu sama lain.

Beberapa ketika selepas itu aku mula mendapat tahu dia sudah berCOUPEL dengan lelaki lain yang sama sekolah dengannya.

Hatiku mula sakit. Pengalaman putus cinta yang tidak pernah dirasai sebelum ini memakan hati. Perasaan kecewa dan putus harapan.

Hari berlalu. Masa seakan-akan berjalan dengan pantas. Kini aku sudah tamat sekolah menengah. Mendapat keputusan SPM yang agak baik dan menyambung ke peringkat diploma pula.

Masa yang berlalu sedetik demi sedetik itu telah menghilangkan luka di hati aku. Aku mula menjalani kehidupan seperti biasa tanpa memikirkan pelajar wanita sekolah itu lagi.

***

Di zaman universiti pula aku dikejutkan dengan kejutan budaya. Lelaki dan perempuan bercampur. Pergaulan bebas antara dua golongan ini membimbangkan aku. Mana tidaknya, aku yang dulu hanya bercampur dengan lelaki sahaja, kini didedahkan dengan pergaulan dengan lawan sejenis.

Walaubagaimanapun, pengalaman kecewa dengan wanita dahulu membuatkan aku tidak percaya akan kelembutan wanita. Ini secara tidak langsung membuatkan aku tidak terjebak dengan mereka yang bergaul bebas.

Suatu hari, ketika aku ingin menuju ke kuliah. Aku terpandang seorang pelajar wanita di satu koridor. Kami berdua berjalan bertentangan. Mataku terbeliak sedikit. Hatiku mula gugup. Wanita di hadapanku ini sungguh cantik. Wajahnya bercahaya dan berseri-seri.

Seorang wanita yang bertudung labuh dan menutup aurat dengan sempurna. Mukaku merah padam. Aku menundukkan pandangan ke bawah sambil cuba untuk melepasinya.

Tiba-tiba satu suara singgah. Dia menyapaku. Aku seakan tidak percaya sahaja. Berani sungguh wanita ini!

Rupa-rupanya dia sudahpun mengenaliku. Mengenaliku dalam satu permainan sukan antarabangsa. Kebetulan ketika itu aku memenangi satu pertandingan sukan yang di mana dia juga mengambil bahagian.

Lalu dia bertanya kepadaku tentang beberapa perkara. Dan aku secara spontannya meminta nombor telefonnya.

Bermula pada itu aku mula jatuh hati pada wanita tersebut. Kami mula berkenalan dan berurusan tentang beberapa perkara.

Dia yang bercirikan wanita solehah membuatkan aku terasa kerdil. Aku langsung tidak memahami hal-hal agama.

Lalu aku mula meningkatkan ilmu agamaku supaya aku layak untuk bersama dengannya. Tetapi jiwaku lemah. Dia jauh meninggalkan ku dengan ilmu agamanya yang tinggi membuatkan aku berputus asa. Aku mula menyingkirkan perasaanku kepadanya sedikit demi sedikit.

Akan tetapi kami masih berhubung. Dia menjadi tempat untuk aku bertanya tentang hal-hal yang aku tidak faham.

Akhirnya aku menamatkan pengajian diplomaku. Kemudian pengajianku bersambung ke ijazah sarjana muda pula di mana aku dimasukkan di universiti yang berlainan.

Tanpa disedari aku dan wanita tersebut mula putus hubungan. Tidak berkomunikasi lagi memandangkan dia masih lagi pelajar diploma.

***

Di tempat baru pula, aku dikejutkan dengan kejutan budaya tahap kedua! Pergaulan antara lelaki dan perempuan lebih bebas.

Takut. Jiwaku takut dengan suasana baru ini. Aku mula mengasingkan diri dari mereka.

Terasingnya diriku membuatkan hati aku mati. Tiada siapa tempat untuk aku meluahkan rasa di hati. Aku mula bersendirian.

Dan ketika ini, seorang pelajar wanita yang sama kelas denganku ketika zaman diploma dahulu seringkali menghubungiku. Pada mulanya aku tidak melayannya memandangkan perkara yang dibincangkan hanyalah sia-sia. Dan dia juga seringkali mengatakan yang dia menyukaiku tetapi aku masih tidak menerimanya dan menganggapnya teman biasa.

Walaubagaimanapun, hati lelaki tidaklah sekuat mana jika diuji dengan wanita. Lama-kelamaan aku mula terjatuh hati dengan kelembutan sifat kewanitaannya.

Aku mula berhubung secara kerap dengan wanita tersebut. Hanya secara berSMS dan Call kerana wanita tersebut  melanjutkan pelajarannya di universiti yang berlainan denganku.

Bercinta jarak jauh.

Wanita tersebut itulah yang menjadi tempat untuk aku meluahkan segalanya. Mengisi kekosongan hatiku.

Lama kami berkenalan. Akhirnya aku membuat keputusan untuk merapatkan lagi hubungan aku dengan si dia. Aku yakin dia akan menerimaku memandangkan kami sudah pun rapat dan dia menyukaiku.

Aku menyatakan hasratku untuk bersama dengannya.

Jawapan yang ku terima mengejutkan. Aku ditolak. Alasannya kerana dia sudah jatuh hati dengan lelaki sekelas dengannya sekarang memandangkan lelaki tersebut menyatakan hasratnya dahulu sebelum aku.

Kejutan yang aku terima ini membuatkan hatiku sakit. Sakit yang teramat sakit. Akalku mula hilang. Menghampiri tahap orang gila. Fikiranku terumbang ambing. Pelajaranku tidak lagi memberangsangkan. Siang malam aku memikirkan si dia. Mengharap supaya si dia kembali kepadaku.

Dia juga memberi alasan bahawa dia tidak layak denganku. Aku layak mendapat orang yang lebih baik darinya.

Ya. Sama seperti alasan zaman di sekolah dahulu.

Aku hairan kenapa aku ditolak sedangkan kami berdua sudah saling mengenali antara satu sama lain.

Terasa hidup ini hancur. Masa depanku gelap. Tiada sinar yang memancar. Diriku menjadi lemah. Aku memerlukan seseorang untuk menguatkan aku.

Dan di takdirkan wanita solehah yang ku kenali pada zaman diploma dahulu dihubungi semula. Dia juga ditakdirkan menyambung pengajian di tempat yang sama denganku. Aku lalu menceritakan kisahku kepadanya. Dia mendengar dengan baik. Itu adalah pertama kali aku menceritakan soal peribadiku kepadanya.

Dia lalu memberiku cara untuk mengatasi perasaan dukaku. Kata-katanya membuatkan diriku insaf.

“Bercintalah dengan Allah nescaya cinta Allah tidak akan mengecewakan.”

Itulah kata-kata hikmah darinya.

***

Aku lalu mula menjinakkan diri untuk mencintai Allah. Program-program agama diikuti. Ilmu-ilmu yang bermanfaat dimiliki dan hari demi hari jiwaku mula terubat.

Aku tidak lagi mencintai wanita hipokrik tersebut dan diriku mula mencintai Allah dan Rasul.

Tanpa disedari, Aku mula jatuh hati semula pada wanita solehah tersebut. Lalu aku menanamkan azam pada diriku untuk menikahinya apabila sudah bersedia dengan ilmu dunia dan akhirat.

Sepanjang pengajian, aku banyak berhubung dengannya. Hatiku terkadang rasa bersalah kerana banyak menghubunginya. Terkadang berbincang tentang perkara yang sia-sia.

Setelah sekian lama. Aku menamatkan pengajian ijazahku dan mula menceburi bidang kerjaya. Si dia masih lagi mempunyai setahun untuk menamatkan pengajian.

Di alam kerjaya, aku mula menyimpan duit. Bersiap sedia untuk melamarnya ketika dia sudah tamat pengajian. Saban hari aku akan berdoa kepada Allah supaya aku dan dia dijodohkan.

Aku yakin bahawa dia adalah jodohku. Peristiwa pengenalan kami di zaman diploma, perasaan gugup aku ketika terserempak dengannya buat pertama kali dan cahaya di wajahnya yang aku lihat menguatkan lagi perasaanku bahawa dia adalah jodohku. Ditambah pula kami sudah berkenalan hampir lima tahun.

Wang ringgit dikumpul. Ilmu-ilmu rumah tangga juga dipelajari. Aku ingin menjadi suami yang soleh dan aku ingin memiliki isteri yang solehah sepertinya.

Akhirnya hari yang dinantikan tiba. Wanita tersebut menamatkan pelajarannya. Aku tanpa membuang masa terus melamarnya.

Tetapi jawapan yang aku terima masih tidak memihak kepadaku. Aku di tolak sekali lagi!

Dia menyatakan bahawa dia pernah menyukaiku dahulu, tetapi perasaannya berubah. Dia memberi alasan bahawa aku layak untuk mendapat orang yang lebih baik darinya.

Aku hairan kenapa aku ditolak sedangkan kami berdua sudah saling mengenali antara satu sama lain.

Jiwaku sedih. Hatiku memberontak. Kenapa perjalanan hidupku seperti ini? Aku setia pada mereka tetapi mereka tidak setia kepadaku?

Dan beberapa ketika selepas itu, aku mendapat tahu dia bertunang dengan orang lain.

Aku mula sedar. Hakikatnya mereka tidak mencintai aku sebagaimana aku mencintai mereka. Aku lalu meneruskan kehidupanku.

***

Kenangan pahit lalu terimbas semula. Aku menghela nafas panjang. Kemudian teh O panas dihirup lagi.

Aku mendongak semula ke atas. Alam ciptaan Allah yang terbentang luas ditatapi. Bibirku mengukir senyuman.

“Ai, fikir apa tu senyum sorang-sorang?” Satu suara menyapa dari belakang. Aku menoleh ke arah pemilik suara. Senyumanku bertambah lebar.

Pemilik suara tersebut mengambil tempat di sebelahku. Tangannya memegang erat tanganku. Matanya bertemu dengan mataku. Wajahku ditatapi.

“Senyum sorang-sorang ni mesti ada apa-apakan? Sharelah dengan kita.”  Suara lembutnya singgah. Memang boleh mencairkan hati mana-mana lelaki.

Aku turut mengengam erat tangannya. Wajah berserinya ditatapi. Memandang wajahnya sahaja menenangkan jiwa.

“Adalah, rahsia.” Ungkapku acuh tak acuh.

“Alaa…” Wanita tersebut mencuih bibir. Membuat gaya merajuk. Aku sedikit geli hati. Comel sungguh wanita disebelahku ini apabila berbuat demikian.

“Rahsia ke atau terkenangkan kekasih lama?” Wanita tersebut meneka.

Aku tersentap. Hebat betul dia ni. Dapat meneka tepat dengan sekali tekaan sahaja. Memang tiada apa-apa yang boleh dirahsiakan daripadanya.

“Hehe…” Aku memandangnya. Mengukir senyuman menampakkan barisan gigi sambil tanganku menggaru-garu kepala.

“Eee..abang ni!” Tangan si dia mencapai cuping telingaku. Tahu bahawa tekaannya tadi betul dengan melihat reaksi aku. Mungkin cemburu kerana aku memikirkan mereka. Dia lalu menarik sedikit telinga ku.

Aku mengaduh sakit walaupun hakikatnya langsung tidak sakit. Kemudian kami ketawa bersama. Terasa bahagia. Bahagia yang amat.

Setahun selepas peristiwa aku ditolak, aku dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita yang dikenalkan oleh seorang mak cik kenalanku. Mak cik tersebut menyarankan aku taaruf dengannya. Dan ditakdirkan Allah memudahkan urusan aku dan si dia. Kami berdua bertunang selama tiga bulan.

Dan pada tarikh 14 September 2013, dia secara sahnya menjadi isteriku. Menjadi wanita ajnabi pertama yang halal buatku dan aku lelaki ajnabi pertama yang halal buatnya.

Sungguh aku tidak percaya bahawa si dia yang tidak mengenaliku sebelum ini akan menjadi jodohku sedangkan mereka yang mengenaliku sekian lama sebelum ini berlaku sebaliknya pula.

Walaubagaimanapun, aku bersyukur kerana Allah mempertemukan aku dengan isteriku yang sekarang. Sungguh tiada wanita yang lebih baik darinya. Isteriku sekarang menjadi tulang belakangku. Menjadi penguat dikala aku lemah dan menjadi peneman membawa aku dan dia bersama-sama ke syurga.

Dan kenangan pahit bersama mereka sebelum ini terbang di tiup angin. Yang singgah hanyalah si dia yang halal buatku.

Tamat.

p/s: Rekaan semata-mata.

2 thoughts on “MEREKA mengenali dan DIA tidak mengenali

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s