Dulu dan Sekarang

Dulu dan Sekarang

Dulu dan Sekarang

Tahun 2011, September 14.

Dia berjalan merentasi gerai Uncle Bob. Kelihatan pelanggan banyak beratur untuk membeli dan menikmati makanan yang kini makin popular. Sejenis ayam yang digoreng rangup dan tidak bertulang. Sama seperti ayam KFC tetapi lebih besar dan merupakan produk tempatan.

Bau ayam dari gerai tersebut singgah ke hidung. Menyelerakan. Ditambah pula perut yang lapar dan badan yang keletihan membuatkan diri tergoda untuk menikmati ayam goreng tersebut.

Ketika ini dia baru sahaja tamat dari kuliah. Dia merupakan pelajar Universiti di kawasan itu.

Anak matanya menatap gerai tersebut. Kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar. Meraba-raba di dalamnya. Dia dapat merasakan beberapa duit syiling di dalam poketnya hasil dari bunyi decingan syiling.

Kemudian dia memaling semula lalu meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

“Tak mungkin aku mampu membelinya.” Monolog Dia. Keluhan dilepaskan.

Harga ayam goreng tersebut sekitar enam ringgit. Mahal. Dia perlu berjimat dalam membelanjakan wang perbelanjaannya. Banyak yang boleh dibeli dengan nilai enam ringgit. Di tambah pula wangnya tidak banyak. Hanya cukup-cukup makan sahaja.

Dia berjalan selangkah demi selangkah dengan menggalas beg jenama Nike yang dihadiahkan oleh abangnya. Dalamnya terdapat beberapa buku teks bagi kelas sebentar tadi. Berat dari beg membuatkan kakinya terasa lenguh berjalan. Akan tetapi mahu atau tidak dia perlu juga meneruskan perjalanan.

Beberapa motosikal melintasi. Debu-debu hasil dari pasir jalan mula mengenainya. Dia menutup hidung. Matanya disepetkan supaya debu tersebut tidak memasuki mata. Kemudian dia memandang ke arah motosikal-motosikal yang sudah jauh meninggalkannya. Pasti penunggang-penunggang tersebut pelajar sepertinya.

“Tak mungkin aku mampu memiliki motosikal.” Monolog Dia sekali lagi.

Walaupun Dia seorang lelaki berumur 20-an, Dia tidak memiliki apa-apa kenderaan seperti kereta ataupun motosikal. Justeru itu, dia hanya berjalan kaki dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Sekiranya dia ingin pergi ke tempat yang jauh, maka barulah dia akan menaiki kenderaan awam seperti bas. Dan sudah menjadi rutin hariannya untuk pergi dan pulang dari kuliah dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang dua kilometer.

“Kenapalah kehidupan aku macam ini?” Kelopak matanya mula berkacakan air mata apabila mengenangkan nasib hidupnya yang susah.

Susah kerana dia tidak memiliki rezeki seperti orang lain. Susah kerana dia tidak dapat menikmati makanan-makanan mewah seperti orang lain. Dan susah kerana dia perlu bersusah dalam perkara yang senang dilakukan orang lain.

Dia lalu singgah di kedai runcit. Ingin membeli sesuatu. “Makan maggi sahajalah.” Bisik hatinya.

Tempat bahagian bungkusan makanan ditujui. Pelbagai jenis jenama mee segera terdapat di situ. Jenama Maggi, Cintan, Ruski dan lain-lainnya. Dia lalu melihat pelekat harga bagi setiap jenis bungkusan.

“Eh?, harga mee Ruski lagi murah. Murah 20 sen dan ada offer.” Hatinya berbicara gembira. Dia lalu mengambil bungkusan mee Ruski perisa kari. Di dalamnya terdapat 5 paket dan promosi 1 paket percuma. Dia perlu berjimat dan pandai memilih. Perbezaan 20 sen sangat bermakna baginya di dalam keadaan dirinya yang serba kekurangan.

“Cukup untuk dua hari ni. Hehe.” Hatinya terhibur. Bukan senang ada promosi begini. Baginya ia merupakan rezeki yang tidak dijangka.

Dia lalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Tiba-tiba matanya terpandang sekelompok coklat bar. Matanya terliur melihat coklat kegemaran. Ingin sahaja dia mengambil tetapi niat tersebut dibatalkan. Dia tidak punya cukup wang untuk membeli.

Bayaran lalu dibuat dan dia terus menuju ke rumah.

Continue reading

Advertisements