Dulu dan Sekarang

Dulu dan Sekarang

Dulu dan Sekarang

Tahun 2011, September 14.

Dia berjalan merentasi gerai Uncle Bob. Kelihatan pelanggan banyak beratur untuk membeli dan menikmati makanan yang kini makin popular. Sejenis ayam yang digoreng rangup dan tidak bertulang. Sama seperti ayam KFC tetapi lebih besar dan merupakan produk tempatan.

Bau ayam dari gerai tersebut singgah ke hidung. Menyelerakan. Ditambah pula perut yang lapar dan badan yang keletihan membuatkan diri tergoda untuk menikmati ayam goreng tersebut.

Ketika ini dia baru sahaja tamat dari kuliah. Dia merupakan pelajar Universiti di kawasan itu.

Anak matanya menatap gerai tersebut. Kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar. Meraba-raba di dalamnya. Dia dapat merasakan beberapa duit syiling di dalam poketnya hasil dari bunyi decingan syiling.

Kemudian dia memaling semula lalu meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

“Tak mungkin aku mampu membelinya.” Monolog Dia. Keluhan dilepaskan.

Harga ayam goreng tersebut sekitar enam ringgit. Mahal. Dia perlu berjimat dalam membelanjakan wang perbelanjaannya. Banyak yang boleh dibeli dengan nilai enam ringgit. Di tambah pula wangnya tidak banyak. Hanya cukup-cukup makan sahaja.

Dia berjalan selangkah demi selangkah dengan menggalas beg jenama Nike yang dihadiahkan oleh abangnya. Dalamnya terdapat beberapa buku teks bagi kelas sebentar tadi. Berat dari beg membuatkan kakinya terasa lenguh berjalan. Akan tetapi mahu atau tidak dia perlu juga meneruskan perjalanan.

Beberapa motosikal melintasi. Debu-debu hasil dari pasir jalan mula mengenainya. Dia menutup hidung. Matanya disepetkan supaya debu tersebut tidak memasuki mata. Kemudian dia memandang ke arah motosikal-motosikal yang sudah jauh meninggalkannya. Pasti penunggang-penunggang tersebut pelajar sepertinya.

“Tak mungkin aku mampu memiliki motosikal.” Monolog Dia sekali lagi.

Walaupun Dia seorang lelaki berumur 20-an, Dia tidak memiliki apa-apa kenderaan seperti kereta ataupun motosikal. Justeru itu, dia hanya berjalan kaki dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Sekiranya dia ingin pergi ke tempat yang jauh, maka barulah dia akan menaiki kenderaan awam seperti bas. Dan sudah menjadi rutin hariannya untuk pergi dan pulang dari kuliah dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang dua kilometer.

“Kenapalah kehidupan aku macam ini?” Kelopak matanya mula berkacakan air mata apabila mengenangkan nasib hidupnya yang susah.

Susah kerana dia tidak memiliki rezeki seperti orang lain. Susah kerana dia tidak dapat menikmati makanan-makanan mewah seperti orang lain. Dan susah kerana dia perlu bersusah dalam perkara yang senang dilakukan orang lain.

Dia lalu singgah di kedai runcit. Ingin membeli sesuatu. “Makan maggi sahajalah.” Bisik hatinya.

Tempat bahagian bungkusan makanan ditujui. Pelbagai jenis jenama mee segera terdapat di situ. Jenama Maggi, Cintan, Ruski dan lain-lainnya. Dia lalu melihat pelekat harga bagi setiap jenis bungkusan.

“Eh?, harga mee Ruski lagi murah. Murah 20 sen dan ada offer.” Hatinya berbicara gembira. Dia lalu mengambil bungkusan mee Ruski perisa kari. Di dalamnya terdapat 5 paket dan promosi 1 paket percuma. Dia perlu berjimat dan pandai memilih. Perbezaan 20 sen sangat bermakna baginya di dalam keadaan dirinya yang serba kekurangan.

“Cukup untuk dua hari ni. Hehe.” Hatinya terhibur. Bukan senang ada promosi begini. Baginya ia merupakan rezeki yang tidak dijangka.

Dia lalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Tiba-tiba matanya terpandang sekelompok coklat bar. Matanya terliur melihat coklat kegemaran. Ingin sahaja dia mengambil tetapi niat tersebut dibatalkan. Dia tidak punya cukup wang untuk membeli.

Bayaran lalu dibuat dan dia terus menuju ke rumah.

***

Pemanas air elektrik di ambil. Dia lalu mengisi air paip di dalamnya. Kemudian dia menghidupkan elektrik. Menunggu sehingga air di dalamnya menjadi panas. Ingin dia memasak mee segera sesegera mungkin kerana terlalu lapar.

Dua paket mee segera diletakkan di dalam mangkuk. Air yang sudah siap dipanaskan dituang. Kemudian perencah kari dimasukkan dan dia lalu mengacau dengan sudu supaya perencah tersebut sebati dengan air. Bau kari singgah ke hidung.

Begitulah kehidupan hariannya. Sepanjang dia belajar di alam Universiti, dia perlu menguatkan diri untuk meneruskan hidup yang penuh dengan liku-liku kehidupan. Dia perlu berlapik perut sekiranya tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Pernah suatu masa dahulu dia tidak makan dua hari oleh kerana kekurangan bajet. Disebabkan peristiwa itu, apabila dia mendapat makanan, dia sangat-sangat bersyukur kepada Allah yang telah memberikan rezeki kepadanya. Sungguh, pengalaman tidak makan dua hari sangat menyeksakan.

“Ya Allah, terima kasih atas rezeki yang Kau berikan kepadaku hari ini.” Bisik hatinya.

Dengan lafaz bismillah, dia terus melahap mee segeranya. Nikmat dan menyelerakan.

***

Demi Masa

Demi Masa

Tahun 2014, Disember 22.

Beberapa tahun berlalu. Dia menamatkan pengajiannya dan mendapat kerjaya yang bagus.

Jam  menunjukkan lima petang. Dia lalu mengemas barang-barangnya di atas meja. Bersedia untuk pulang ke rumah.

“Aku balik dulu ye.” Katanya kepada salah seorang rakan sekerja di pejabat. Kawannya mengangkat tangan sebagai reaksi balas.

Enjin kereta dihidupkan. Dia lalu memasang tali pinggang keledar dan menuju pulang ke rumah.

Ya. Kini dia sudah mempunyai kenderaan sendiri. Boleh ke mana-mana tempat yang dekat dan jauh bila-bila masa sahaja. Tidak perlu lagi bersusah payah seperti dahulu.

Sedang dalam perjalanan, dia ternampak satu gerai Uncle Bob di tepi jalan. Dia lalu memberhentikan kenderaannya.

“Lapar pula perut ni.” Monolognya di dalam hati.

“Bagi satu ye bang.” Katanya kepada si penjual.

Beberapa seketika selepas itu. Makanan yang di pesan siap.

“8 ringgit. (bukan harga sebenar)”

Dia lalu menghulurkan wang kertas RM50. Peniaga tersebut terkejut.

“Err, bang ada duit kecil tak?” Kata peniaga itu.

Dia menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak ada. Kemudian peniaga tersebut bertungkus lumus mencari wang baki di dalam laci.

“Terima kasih.” Kata peniaga itu.

Dia lalu menghidupkan semula enjin kereta. Bersedia untuk meneruskan perjalanan. Sambil dia memandu, sambil dia menyuap ayam tersebut satu per satu.

Dia kemudian memandang bungkusan ayam tersebut. Kenangan masa lampau tergiang semula di ingatan. Teringat bahawa dahulu dia terlalu susah sehingga tidak mampu untuk membeli ayam Uncle Bob.

Tetapi sebentar tadi dia siap menghulurkan RM50. Sungguh rezeki yang dia miliki kini tidak pernah terlintas olehnya dahulu.

“Ya Allah, terima kasih atas rezeki yang Engkau berikan.”

***

Tik… Tik… Tik…

Hujan renyai-renyai mulai turun membasahi bumi. Cermin kereta yang dipandu si dia mulai kabur ditutupi air hujan. Dia lantas menghidupkan wiper cermin hadapan untuk menyingkir air yang menghalang pandangan pemanduannya. Cermin kembali jelas semula.

Semakin lama semakin lebat hujan turun. Dia melajukan lagi kibasan wiper cermin kereta. Matanya mula fokus pada pemanduan. Dia perlu berhati-hati kerana hujan mengkaburkan penglihatan pemandu-pemandu lain.

Keretanya melintasi bawah jambatan. Dia melihat ke kiri. Terdapat ramai penunggang-penunggang motosikal yang berteduh di bawah jambatan. Tidak dapat meneruskan perjalanan mereka kerana hujan. Terlalu bahaya bagi mereka sekiranya meneruskan perjalanan kerana jalan yang licin serta penglihatan yang kabur.

Timbul simpati dalam hati dia. Dahulu dia juga seperti mereka. Terpaksa menghentikan perjalanan kerana hujan. Terkadang, sekiranya dia tidak menjumpai tempat berteduh, bajunya akan basah kuyup. Sungguh pengalaman yang mencabar. Tiada apa yang boleh dilakukan olehnya untuk menghentikan hujan selain berdoa kepada Allah.

“Ya Allah, berilah rezeki kepada mereka.” Doa dia.

Perjalanan pulang ke rumah di teruskan. Sepanjang perjalanan, hatinya di isi dengan Istighfar. Sungguh, rezeki yang dia miliki pada hari ini tidak mungkin dia perolehi tanpa kehendak Allah.

Allah jualah yang memberi rezeki padanya.

Dahulu poketnya sentiasa kosong jika hendak dibandingkan dengan sekarang.

Dahulu, ayam Uncle Bob terlalu mahal baginya jika hendak dibandingkan dengan sekarang.

Dahulu dia terpaksa menuju dari suatu tempat ke suatu tempat dengan berjalan kaki jika hendak dibandingkan dengan sekarang.

“Alhamdulillah, segala puji bagi-NYA yang telah memberikan rezeki.”

2 thoughts on “Dulu dan Sekarang

  1. Di sebalik kesusahan itu ada hikmahnya ,kita akan lebih menghargai sesuatu . Hanya kita yang pernah rasa hidup saja yang akan rasa nikmat yang ternilai apabila diturun rezeki kepada kita .

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s