Apabila Hidayah di Tarik Balik – Part 7

al-Quran Mini

al-Quran Mini

Helaian demi helaian dibuka. Cuba untuk mencari jawapan yang hilang di setiap muka surat. Oleh kerana di dalamnya terdapat 114 Surah dan al-Quran mini terjemahan bahasa melayu miliknya mempunyai hampir 500 muka surat, maka dia menjadi bingung dimana dia harus bermula.

Sharil lalu melabuhkan badannya di atas katil. “Ah..” Keluhan dilepaskan.

“Mana mungkin aku dapat mencari jawapan tersebut seorang diri. Al-Quran pun tak pernah khatam.” Kitab al-Quran mini tersebut ditutup. Kitab berwarna coklat, hadiah dari ibunya ketika kecil dahulu. Sehingga sekarang ia masih dalam kondisi yang baik.

Sharil mula berputus asa. Entah kenapa dengan dirinya ketika ini. Sebentar tadi hatinya kuat kemudian menjadi lemah. Cepat sungguh jiwa manusia boleh berubah.

Sharil mengelamun memikirkan perkara yang terjadi pada dirinya.

“Eh mana datang anak kucing ini!”
Satu suara kedengaran dari dapur. Lamunan Sharil terhenti.

Sharil lantas bangkit dari katilnya dan bergegas menuju terus ke dapur. Takut sekiranya anak kucing tersebut diapa-apakan. Risau.

Setibanya Sharil di muka pintu, dia sedikit tersentak. Temannya Azim sedang mendukung anak kucing tersebut sambil dibelai-belai bulunya. Kerisauan Sharil hilang. Temannya masih tidak perasan akan kehadirannya di situ.

Sharil melihat gelagat temannya membelai anak kucing tersebut. Teringat pula duit di dalam dompet yang dicuri.

Sharil mengeluh. Setiap kali dia terserempak dengan temannya itu, dia akan teringat duit yang dicuri. Sungguh mengganggu fikirannya. Entah bila dia ingin memberitahu perkara tersebut dan meminta maaf kepada temannya itu. Semakin lama disimpan semakin beban fikirannya.

Perlahan-lahan Sharil menghampiri temannya.

“Kau suka kucing?” Sharil membuka suara.

“Eh Sharil?” Temannya memaling ke arah pemilik suara. Sedikit terkejut melihat Sharil bangun di subuh hari. Biasanya masih dikatil dibuai mimpi.

Azim tersenyum. Kemudian mengalihkan pandangannya ke arah anak kucing tersebut kembali.

“Aku memang suka kucing. Kalau diikutkan, dikampung aku sentiasa ada dua tiga ekor kucing untuk dijaga. Tetapi…” Ayat Azim terhenti seketika.

Sharil mengangkat keningnya menandakan isyarat tanda tanya walaupun Azim tidak melihat. Menunggu Azim menyambung kata-katanya.

“…Oleh sebab kucing aku asyik mati sahaja, sekarang ini memang tak sampai hati nak bela sebab takut mati lagi. Haha. ” Azim tersengih sambil memalingkan mukanya menghadap wajah Sharil. Kepalanya digaru-garu.

Sharil turut geli hati mendengar kata temannya. Memang lumrah, jangka hayat kucing tidak lama. Biasanya hanya sekitar tiga empat tahun. Dan kucing juga sering mati disebabkan dilanggar atau penyakit.

“Awal kau bangun hari ini?” Kata temannya.

“Oh, Kucing ini yang kejutkan aku tadi.” Balas Sharil.

“Oh, ini kucing kau rupanya.” Lantas Azim menyerahkan anak kucing tersebut untuk didukung oleh Sharil pula.

Kucing

Kucing

Anak Mata Azim sempat menjeling kepada objek di tangan Sharil. Sedikit terkejut apabila melihat tangan Sharil sedang memegang al-Quran mini. Sejak kebelakangan ini agak susah untuk melihat temannya itu membaca al-Quran.

“Kau dah solat subuh?” Tanya Azim setelah kucing tersebut diserahkan. Memandangkan Sharil ketika ini nampak positif, maka dia ingin solat berjemaah bersama.

“Dah. Tadi aku solat kat masjid.” Jawab Sharil selamba. Anak kucing dibelai.

Azim semakin terkejut. Solat di masjid? Hebat. Nampaknya temannya ini sudah kembali pada yang dulu.

“Wah hebat ini. Lagi hebat dari aku. Aku pun belum sampai tahap itu.” Balas Azim. Dia lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Shahril memandang temannya yang sedang berjalan pergi. Kata-kata temannya sebentar tadi terasa pelik bagi dirinya. Hebat? Dirinya hebat? Sejak kebelakangan ini dia sering lalai beribadah pada Allah dan melakukan banyak perkara-perkara mungkar. Masakan dia hebat.

Sharil sedikit bingung. Lama dia berdiri di situ.

Azim selesai mengambil wuduk. Kelihatan Sharil masih berdiri di situ. Azim sedikit kehairanan. Apa yang telah berlaku pada Sharil sebenarnya? Gelagatnya pagi ini pelik. Tetapi kelihatan Sharil semakin positif dari sebelum ini.

“Selepas ini aku ingin pergi ke Universiti Malaya. Ada kuliah tafsir Quran dan Hadis. Kau mahu ikut?” Tanya Azim. Mengambil peluang atas sikapnya yang positif hari ini.

“Err… Boleh juga.” Spontan Sharil menjawab tanpa sempat berfikir apa-apapun. Dia juga kehairanan dengan jawapan yang diberi. Kuliah agama? Ah, tidak pernah-pernah dia pergi ke kuliah agama, tiba-tiba sahaja dia bersetuju ingin pergi. Apa yang sedang berlaku dengan dirinya ketika ini. Menghairankan.

“Okay, kalau macam tu dalam pukul 7.30 pagi kita bertolak.” Azim lalu menepuk bahu kanan Sharil lantas berlalu ke biliknya. Menunaikan solat subuh.

Sharil masih bingung. Anak kucing yang berada di dalam pelukannya diperhatikan.

Ajakan tersebut hadir disebabkan hadirnya anak kucing ini di dapur. Sebelum ini ajakan dari Masjid juga hadir disebabkan anak kucing ini mengejutkan dia. Adakah kehadiran anak kucing merupakan aturan Allah?

“Tafsir Quran dan Hadis?” Sharil berfikir sejenak. Mungkin dia boleh mendapat jawapan yang diingininya di situ.

Sharil lalu berjalan melangkah menuju ke biliknya. Bersama dengan anak kucing.

Sila komen di sini

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s