Apabila hidayah di Tarik Semula – Part 6

hidayah-2

Sunyi. Sepanjang perjalanan dari rumah ke masjid, tiada kenderaan yang bergerak di jalan raya. Masih terlalu awal untuk semua orang keluar dari rumah mereka. Sesekali lampu kenderaan dilihat dari jauh. Pastinya menuju ke destinasi yang sama.

Sharil menunggang motosikalnya dalam kelajuan 40 km sejam. Terasa badannya sejuk dirempuh angin yang terhasil dari pergerakan motosikal tersebut. Kadang-kadang secara spontannya badannya menggeletar sejenak. Seluruh badannya menjadi panas.

Akhirnya Sharil tiba di Masjid. Enjin motosikal dimatikan. Kaki kirinya menolak tongkat motosikal ke bawah untuk dijadikan pengukuh. Helmet kepala ditanggalkan. Di tukar dengan kopiah pula.

Sharil memerhati kawasan sekeliling. Kelihatan beberapa orang keluar masuk dari bahagian tempat wuduk. Sharil lalu menuju ke arah tersebut.

Pili air dipusing . Air jernih meluncur keluar laju. Kedua-dua belah tangan di gosok-gosok. Kemudian dia mencuci bahagian hidung dan berkumur. Niat wuduk dipasang di dalam hati. Kedua-dua belah tangan ditadah. Air mula bertakung di dalam kelopok tangannya.

Bahagian muka dibasuh tiga kali. Tangan kanan dan tangan kiri juga dibasuh. Disusuli pula dengan bahagian atas kepala, kedua-dua belah telinga dan akhirnya kedua-dua belah kaki. Semuanya sebanyak tiga kali. Selesai sahaja wuduk di ambil, dia terus bergerak ke bahagian tempat solat.

Kaki memijak lantai karpet. Sharil memandang sekeliling. Macam tidak percaya sahaja dia kini berada di bahagian tempat solat untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Ya solat subuh! Solat yang dikatakan paling sukar untuk ditunaikan tambahan pula secara berjemaah.

Entah kenapa ada suatu perasaan tenang timbul di dalam hatinya. Seakan-akan semua masalahnya hilang. Tetapi dia tidak tahu perasaan tenang ini diperolehi kerana suasana pagi subuh yang tenang atau suasana masjid ataupun perkara-perkara lain. Dia tidak tahu. Kepalanya masih bingung memikirkan bagaimana dia memperoleh kekuatan untuk datang ke sini.

Kelihatan beberapa kanak-kanak juga turut serta untuk menunaikan solat. Hati Sharil tersentuh. Kecil-kecil lagi sudah berjinak ke masjid. Pasti ibu bapanya mendidik anak tersebut dengan baik.

Bilal mengalunkan iqamah. Memanggil jemaah-jemaah lain untuk bergerak bagi melakukan solat bersama. Semua jemaah mula bangun dan merapatkan saf. Sharil juga tidak terkecuali. Imam sudah bersedia untuk mengetuai solat. Takbir diangkat dan jemaah lain mengikuti.

***

Bacaan al-fatihah dari imam masjid bergema. Menggetarkan jiwa bagi setiap manusia yang ada. Sharil khusyuk mendengar. Sudah lama dia tidak mendengar ayat-ayat al-quran. Jiwa Sharil tersentuh dan sayu apabila menghayati bacaan yang sangat merdu.

Sambil Sharil mendengar sambil Sharil cuba menterjemahkan bacaan ayat yang di baca oleh imam. Dan sampai ke suatu ayat, jiwa Sharil menjadi sayu.

“Tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Iaitu jalan yang Engkau redhai, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.”

Dan bacaan tersebut di aminkan oleh seluruh para jemaah yang lain. Sharil turun mengikuti dengan perasaan penuh hiba.

Kemudian bacaan surah kedua dibaca. Diikuti pula dengan rukuk, Iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan akhirnya tahiyat akhir. Solat subuh ditunaikan sebanyak dua rakaat.

Imam memberi salam diikuti dengan para jemaah lain.

Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim. Kalimat Istighfar diulang beberapa kali oleh para jemaah.

Wirik selepas solat dilakukan. Kemudian imam membaca doa dan di aminkan oleh para jemaah. Sharil juga mengangkat tangan untuk berdoa tetapi dia berdoa khusus untuknya di dalam bahasa melayu. Dia tidak faham apa yang didoakan oleh imam memandangkan imam tersebut berdoa di dalam bahasa arab.

Selesai sahaja berdoa, mereka semua lalu bersalaman dan berlalu pergi ke haluan masing-masing. Sharil berlalu menuju ke arah motosikalnya.

Sampai sahaja dia di tempat motosikalnya. Dia lalu menghentikan langkahnya. Kopiah dikepala ditanggal. Dia lalu menghadapkan kepalanya ke atas.

Kubah besar masjid ditatapi. Kubah berwarna biru. Salah satu seni bina yang melambangkan bangunan masjid bagi penganut agama Islam.

Hatinya menjadi pilu. Dahulu masjidlah rumah kedua baginya. Dahulu masjidlah tempat dia selalu singgah untuk menuntut ilmu-ilmu dunia akhirat. Dahulu masjidlah tempat dia bersendiri dan berdua-duaan dengan tuhan yang maha esa.

Dan hari ini kenangan-kenangan tersebut kembali diingatannya. Keindahan, ketenangan, kebahagian beribadat kepada Allah menyusup kembali ke dalam hatinya.

Jiwa Sharil menjadi sayu. Seakan-akan ingin menitiskan air mata mengenang semula kenangannya yang dahulu. Kenangan bersama Allah.

 “Astaghfirullahalazim.” Kalimah agung itu berzikir di dalam hati.

Dia lalu menghidupkan motosikalnya dan menuju pulang ke rumah. Ada sesuatu yang ingin dia ketahui di rumah. Persoalan-persoalannya mengenai nasib hidupnya yang serba tidak kena sebelum ini.

Apakah kebahagiaan yang sebenarnya?

Kenapa kita hidup di dunia ini?

Apa tujuan kita di ciptakan?

Kenapa buat baik juga dapat musibah?

Kenapa ramai orang jahat hidup mewah?

Kenapa kehidupannnya tidak seperti yang dia harapkan?

Semua persoalan ini ingin dia temui jawapannya. Dan dia tahu jawapannya ada di mana.

Al-Quran.

Ya. Jawapan untuk semua persoalannya pasti ada di situ.

Sangat Merindui Medan Penulisan Ini

Assalamualaikum,

Pertama sekali penulis ingin memohon maaf kepada pembaca-pembaca kerana sudah lama tidak menulis dan berkongsi di blog ini.

Sejak kebelakangan ini penulis tidak mempunyai kekuatan “Hati” untuk menulis.

Mungkin kerana faktor persekitaran dan fasa kehidupan yang sudah ke alam pekerjaan.

Atau mungkin kerana masalah IMAN.

Sangat merindui zaman dapat menulis dengan “Hati” yang tenang. (T_T)

Mohon kalian dapat menghulurkan doa semoga Allah memberi kekuatan untuk penulis untuk terus berjuang di medan penulisan ini.

Di sini penulis ingin berkongsi beberapa karya daripada ahli Keluarga penulis. Moga dapat memberi inspirasi kepada pembaca. 🙂

Wassalam.

Pesanan Imam Al-Ghazali

Pesanan Imam Al-Ghazali

Rejab

Rejab

Kata-kata Hikmah Abdullah Ibnu abbas

Kata-kata Hikmah Abdullah Ibnu abbas

Peaceful Melody

Peaceful Melody

Bacalah

Bacalah

Doa naik kenderaan

Doa naik kenderaan

Kerana-Nya aku menolaknya

Kerana-Nya aku menolaknya

Komik Ikhlas 1

Komik Ikhlas 1

Komik Ikhlas 2

Komik Ikhlas 2

Kalaulah…

Kalaulah...

Kalaulah…

“Allah. Letihnya..” Keluh Ubai. Ketika ini dia baru sahaja pulang dari makan tengahari. Jam menunjukkan 1 tengahari. Menandakan akan masuknya waktu Zohor sebentar lagi.

*Allahuakbar, Allahuakbar…

Azan Zohor berkumandang.

“Letihnya. Solat di rumah sahajalah. Kalau pergi masjid nak kena jalan kaki. Jauh. Lainlah kalau ada motor. Tak adalah letih sangat.” Bisik hati Ubai.

Ubai lalu menunaikan solat Zohor di rumah.

“Ya Allah, KALAULAH aku ada motosikal. Aku janji aku akan pergi ke masjid sama-sama menunaikan solat berjemaah.” Janji Ubai.

Sebulan selepas itu. Allah memberi Ubai motosikal.

“Alhamdulillah. Akhirnya dapat juga aku beli motosikal. Selepas ini senanglah untuk aku pergi ke mana-mana.”

*Allahuakbar, Allahuakbar…

Azan Zohor berkumandang.

“Azan zohor? Mahu pergi ke masjid ataupun tak ni.” Ubai melihat ke arah luar tingkap.

“Panas terik. Solat di rumah sahajalah.”

“Ya Allah, KALAULAH aku ada kereta. Sudah tentu aku pergi ke masjid. Kereta ada bumbung tidak seperti motosikal. Terlindung dari panas terik dan hujan.” Janji Ubai.

Sebulan selepas itu, Allah memberi Ubai kereta.

“Alhamdulillah. Dapat juga aku membeli kereta. Terlindung dari cuaca panas dan hujan.”

*Allahuakbar, Allahuakbar…

Azan Zohor berkumandang.

“Mahu pergi ke masjid ke tak ni? Kalau naik kereta kena pakai minyak. Membazir. Minyak sekarang dah la mahal. Nak naik motor, cuaca panas terik. Jalan kaki apatah lagi. Solat di rumah sahajalah.” Kata Ubai.

KALAULAH minyak murah dah lama aku ke masjid.” Monolog Ubai.

Dan akhirnya Ubai langsung tidak pergi ke masjid walaupun sudah berjanji ingin pergi ke masjid sekiranya memiliki motosikal atau kereta.

”Dan di antara mereka ada orang yang telah berjanji kepada Allah, “Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian dari kurniaanNya kepada kami, nescaya kami akan bersedekah dan nescaya kami temasuk orang-orang yang soleh.”

“Ketika Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaaanNYa, mereka menjadi kikir dan berpaling, dan selalu menentang (kebenaran).”

“Maka Allah menanamkan kemunafikan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemui-Nya, kerana mereka telah mengingkari janji yang telah mereka ikrarkan kepadaNya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta.” (Surah At-Taubah, Ayat 75 – 77)

Walaupun hanya 10 sen

10 sen

“Berapa semua?” Tanya Faiz kepada tauke kedai runcit.

“RM10.10.” Kata Ah Chong, tauke kedai tersebut. Merupakan seorang cina tua.

Faiz lalu menghulur wang not RM50 ringgit. Tauke tersebut lalu mengambilnya. Kemudian dia mengambil empat keping wang not RM10 di mesin kira untuk di berikan baki. Semuanya berjumlah RM40.

Lalu kepingan RM40 tersebut di berikan kepada Faiz. “Terima kasih.” Kata tauke tersebut.

Faiz mengambil wang baki tersebut. “Eh sepatutnya baki adalah RM39.90.” Fikir Faiz. Tauke tersebut di pandang. Tiada kata yang keluar dari kedua-dua mereka.

Faiz hanya memandang sekilas. Kemudian dia terus berjalan keluar dari kedai runcit tersebut tanpa bicara.

“Ah, 10 sen sahaja. Mungkin tauke nak senang bagi baki. Atau tiada duit syiling 90 sen. Sebab itu dia halalkan sahaja 10 sen ni. Lagipun dia tak rugi pun kalau hanya 10 sen sahaja.” Bisik hati Faiz.

Motosikal jenama Wave di naiki. Terus menuju ke rumah.

Sesudah sahaja Faiz sampai ke rumah, dia lalu meletakkan barang-barang yang di belinya di atas meja. Tidak banyak yang di beli olehnya. Hanya dua tiga barang.

Satu per satu barang di ambil dari beg plastik dan di letakkan di atas meja. Sambil dia meletakkan barang, sambil pelekat harga di perhatikan. Faiz mengira. Memang jumlah harga semua barang tersebut adalah RM10.10.

Faiz mendiamkan diri. Memerhati barang-barang yang di belinya.

“Ah bagaimana kalau tauke itu terlupa dan salah kira? Bagaimana kalau dia sebenarnya hanya ingin menguji kejujuran aku?” Bisik hati Faiz.

Hati Faiz menjadi tidak tenang. Dia juga tidak tahu mengapa. Hati Faiz mula berbicara.

“Adakah kerana 10 sen ini membuatkan tauke tersebut itu rugi? Sudah pasti tidak.”

“Lagipun tadi tauke itu sendiri sebut RM10.10. Tak kan dia silap bagi baki.”

“Ah, kenapa aku banyak fikir pula? Hanya 10 sen sahaja. Bukan seratus pun. lagipun dia itu cina.”

Fikiran Faiz mula berserabut. Terasa malas untuk mengambil kisah. Kemudian dia terus menuju ke bilik dan melakukan aktiviti kebiasaannya.

***

Faiz baring di atas katilnya. Matanya tidak dapat lelap. Memikirkan hal 10 sen tadi.

“Ya Allah, hanya 10 sen sahaja. Kenapa aku rasa tidak tenang langsung.” Bisik hati Faiz.

Lama Faiz memikir. Kemudian matanya menjadi berat dan akhirnya dia terlelap.

“Wahai tuhan, dahulu dia tidak berlaku jujur denganku. Dia telah hutang kepadaku 10 sen. Hari ini aku mahu tuntut wang tersebut walaupun aku ketika itu adalah bukan muslim!”

“Allah!” Faiz terjaga dari tidurnya secara mengejut. Jantungnya berdegup kencang. Dahinya berpeluh. Ketika ini dia dalam keadaan terduduk.

“Astaghfirullah. Rupanya mimpi.”

Faiz lalu menuju ke bilik air. Mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Mimpi tadi penuh dengan maksud tersirat. Faiz bertekad untuk membayar semula wang 10 sen yang di hutangnya.

Keesokan harinya Faiz pergi semula ke kedai tersebut. syiling 10 sen di berikan kepada tauke tersebut. Tauke tersebut tersenyum lalu mengambil syiling tersebut dan mengucapkan terima kasih.

Hati Faiz tiba-tiba menjadi tenang. Fikirannya tidak di ganggu lagi dengan sangkaan-sangkaan.

Mungkin sahaja Allah sedang menguji kejujurannya. Ataupun mungkin sahaja tauke cina tersebut mahu melihat sama ada penganut agama Islam ini seorang yang jujur atau pun tidak.

Pengajaran : Situasi tauke kedai memberi wang baki yang salah banyak berlaku di kalangan kita. Sekiranya dia terberi baki yang salah atau terlebih, cepat-cepatlah membetulkannya dan bersikap jujur dan amanah. Walaupun hanya 10 sen. Allah tetap akan menghitungnya. Sekiranya bukan di dunia, maka di akhirat kelak. Wallahualam.

“Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah Az-Zalzalah, ayat 7 dan 8)

Rupanya begini perasaan mereka yang…

Motosikal

Satu per satu kereta di potongi. Jalan raya yang sibuk dengan kenderaan membuatkan Irfan tidak boleh lalai walaupun sesaat. Kelajuan perlu seimbang dengan kenderaan-kenderaan yang lain. Tambahan pula dia menunggang motosikal. Tahap keselamatan bagi penunggang motosikal ketika berada di jalan raya tidak sebagus pemandu kereta.

Kelihatan kereta perodua Viva di hadapan. Bergerak perlahan. Irfan memandang cermin sisi kanan motosikalnya. Tiada kenderaan dibelakang. Irfan berniat untuk melepasi kereta Viva tersebut. Lantas Irfan memberi isyarat lampu kanan dan terus memecut laju memotong kereta Viva tersebut. Berjaya.

Motor kembali bergerak di lorong kiri semula.

Irfan melihat awan gelap di atas. Pastinya akan hujan sebentar lagi. Sekiranya hujan turun ketika dia masih menunggang, ini akan memberinya masalah kerana motosikal tidak mempunyai bumbung sebagai teduhan jika di bandingkan dengan kereta.

“Ya Allah, janganlah Kau bagi hujan turun.” Doa Irfan kepada pemilik yang menurunkan hujan.

Tik… Tik… Tik…

Satu per satu titisan air hujan mengenai pelindung muka helmet. Akhirnya hujan turun jua. Mulanya hanya rintik-rintik. Kemudian menjadi lebat.

Irfan berfikir sejenak. Adakah mahu meneruskan perjalanan ataupun tidak. Hujan yang lebat akan mengaburkan penglihatan penunggang dan pemandu kenderaan lain. Sekiranya perjalanan di teruskan, mungkin sahaja bahaya akan menimpa.

Irfan lantas membuat keputusan untuk berhenti di tempat teduhan. Kelihatan di hadapan terdapat jambatan. Irfan lalu menghentikan motosikalnya di bawah jambatan tersebut.

Gear motosikal di tukarkan kepada Neutral. Enjin di matikan. Helmet di buka keluar. Irfan memerhati sekeliling. Ramai penghuni sudah berada di bawah jambatan ini. Masing-masing adalah penunggang motosikal yang mengalami nasib sepertinya.

***

Laju. Kenderaan yang melintasi kawasan tempat mereka berteduh meluncur laju. Betul-betul di hadapan mata. Sedikit rasa gerun muncul di hati. Seakan-akan merasa yang kenderaan-kenderaan tersebut mahu merempuh kawasan teduhan mereka.

Hujan masih turun dengan lebatnya. Masih tiada tanda-tanda mahu surut. Irfan hanya duduk diam di atas kerusi motosikal.

Rupanya begini perasaan mereka yang terpaksa berteduh menunggu hujan berhenti.” Bisik hati Irfan.

Sebelum ini dia merupakan pemandu kereta. Seringkali apabila hujan turun, dia melihat ramai penunggang motosikal terpaksa berteduh. Ada yang berteduh di bawah jambatan, ada yang berteduh di tempat menunggu bas dan lain-lain.

Apabila dia melintasi mereka. Dia hanya melihat sahaja. Langsung tidak terdetik perasaan simpati kepada mereka.

Tetapi hari ini dia berpengalaman menurut serta kumpulan penunggang motosikal yang berteduh. Timbul rasa syukur di hatinya apabila dahulu dia mendapat nikmat memandu kereta ketika hujan dan timbul rasa syukur di hatinya kerana dapat merasai hati mereka yang terpaksa berteduh.

Hujan mula kembali surut. Cahaya matahari mula menampakkan sinaran. Tanda hujan akan berhenti. Irfan menghidupkan enjin motosikalnya. Mereka yang lain juga membuat perkara yang sama.

Dan apabila hujan berhenti. Mereka semua meluncur semula. Menuju destinasi masing-masing. Irfan membaca doa menaiki kenderaan. Dia juga turut serta meluncur laju menuju pulang ke rumah.

Continue reading