Apabila Hidayah di Tarik Balik – Part 7

al-Quran Mini

al-Quran Mini

Helaian demi helaian dibuka. Cuba untuk mencari jawapan yang hilang di setiap muka surat. Oleh kerana di dalamnya terdapat 114 Surah dan al-Quran mini terjemahan bahasa melayu miliknya mempunyai hampir 500 muka surat, maka dia menjadi bingung dimana dia harus bermula.

Sharil lalu melabuhkan badannya di atas katil. “Ah..” Keluhan dilepaskan.

“Mana mungkin aku dapat mencari jawapan tersebut seorang diri. Al-Quran pun tak pernah khatam.” Kitab al-Quran mini tersebut ditutup. Kitab berwarna coklat, hadiah dari ibunya ketika kecil dahulu. Sehingga sekarang ia masih dalam kondisi yang baik.

Sharil mula berputus asa. Entah kenapa dengan dirinya ketika ini. Sebentar tadi hatinya kuat kemudian menjadi lemah. Cepat sungguh jiwa manusia boleh berubah.

Sharil mengelamun memikirkan perkara yang terjadi pada dirinya.

“Eh mana datang anak kucing ini!”
Satu suara kedengaran dari dapur. Lamunan Sharil terhenti.

Sharil lantas bangkit dari katilnya dan bergegas menuju terus ke dapur. Takut sekiranya anak kucing tersebut diapa-apakan. Risau.

Setibanya Sharil di muka pintu, dia sedikit tersentak. Temannya Azim sedang mendukung anak kucing tersebut sambil dibelai-belai bulunya. Kerisauan Sharil hilang. Temannya masih tidak perasan akan kehadirannya di situ.

Sharil melihat gelagat temannya membelai anak kucing tersebut. Teringat pula duit di dalam dompet yang dicuri.

Sharil mengeluh. Setiap kali dia terserempak dengan temannya itu, dia akan teringat duit yang dicuri. Sungguh mengganggu fikirannya. Entah bila dia ingin memberitahu perkara tersebut dan meminta maaf kepada temannya itu. Semakin lama disimpan semakin beban fikirannya.

Perlahan-lahan Sharil menghampiri temannya.

“Kau suka kucing?” Sharil membuka suara.

“Eh Sharil?” Temannya memaling ke arah pemilik suara. Sedikit terkejut melihat Sharil bangun di subuh hari. Biasanya masih dikatil dibuai mimpi.

Azim tersenyum. Kemudian mengalihkan pandangannya ke arah anak kucing tersebut kembali.

“Aku memang suka kucing. Kalau diikutkan, dikampung aku sentiasa ada dua tiga ekor kucing untuk dijaga. Tetapi…” Ayat Azim terhenti seketika.

Sharil mengangkat keningnya menandakan isyarat tanda tanya walaupun Azim tidak melihat. Menunggu Azim menyambung kata-katanya.

“…Oleh sebab kucing aku asyik mati sahaja, sekarang ini memang tak sampai hati nak bela sebab takut mati lagi. Haha. ” Azim tersengih sambil memalingkan mukanya menghadap wajah Sharil. Kepalanya digaru-garu.

Sharil turut geli hati mendengar kata temannya. Memang lumrah, jangka hayat kucing tidak lama. Biasanya hanya sekitar tiga empat tahun. Dan kucing juga sering mati disebabkan dilanggar atau penyakit.

“Awal kau bangun hari ini?” Kata temannya.

“Oh, Kucing ini yang kejutkan aku tadi.” Balas Sharil.

“Oh, ini kucing kau rupanya.” Lantas Azim menyerahkan anak kucing tersebut untuk didukung oleh Sharil pula.

Kucing

Kucing

Anak Mata Azim sempat menjeling kepada objek di tangan Sharil. Sedikit terkejut apabila melihat tangan Sharil sedang memegang al-Quran mini. Sejak kebelakangan ini agak susah untuk melihat temannya itu membaca al-Quran.

“Kau dah solat subuh?” Tanya Azim setelah kucing tersebut diserahkan. Memandangkan Sharil ketika ini nampak positif, maka dia ingin solat berjemaah bersama.

“Dah. Tadi aku solat kat masjid.” Jawab Sharil selamba. Anak kucing dibelai.

Azim semakin terkejut. Solat di masjid? Hebat. Nampaknya temannya ini sudah kembali pada yang dulu.

“Wah hebat ini. Lagi hebat dari aku. Aku pun belum sampai tahap itu.” Balas Azim. Dia lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Shahril memandang temannya yang sedang berjalan pergi. Kata-kata temannya sebentar tadi terasa pelik bagi dirinya. Hebat? Dirinya hebat? Sejak kebelakangan ini dia sering lalai beribadah pada Allah dan melakukan banyak perkara-perkara mungkar. Masakan dia hebat.

Sharil sedikit bingung. Lama dia berdiri di situ.

Azim selesai mengambil wuduk. Kelihatan Sharil masih berdiri di situ. Azim sedikit kehairanan. Apa yang telah berlaku pada Sharil sebenarnya? Gelagatnya pagi ini pelik. Tetapi kelihatan Sharil semakin positif dari sebelum ini.

“Selepas ini aku ingin pergi ke Universiti Malaya. Ada kuliah tafsir Quran dan Hadis. Kau mahu ikut?” Tanya Azim. Mengambil peluang atas sikapnya yang positif hari ini.

“Err… Boleh juga.” Spontan Sharil menjawab tanpa sempat berfikir apa-apapun. Dia juga kehairanan dengan jawapan yang diberi. Kuliah agama? Ah, tidak pernah-pernah dia pergi ke kuliah agama, tiba-tiba sahaja dia bersetuju ingin pergi. Apa yang sedang berlaku dengan dirinya ketika ini. Menghairankan.

“Okay, kalau macam tu dalam pukul 7.30 pagi kita bertolak.” Azim lalu menepuk bahu kanan Sharil lantas berlalu ke biliknya. Menunaikan solat subuh.

Sharil masih bingung. Anak kucing yang berada di dalam pelukannya diperhatikan.

Ajakan tersebut hadir disebabkan hadirnya anak kucing ini di dapur. Sebelum ini ajakan dari Masjid juga hadir disebabkan anak kucing ini mengejutkan dia. Adakah kehadiran anak kucing merupakan aturan Allah?

“Tafsir Quran dan Hadis?” Sharil berfikir sejenak. Mungkin dia boleh mendapat jawapan yang diingininya di situ.

Sharil lalu berjalan melangkah menuju ke biliknya. Bersama dengan anak kucing.

Advertisements

Apabila hidayah di Tarik Semula – Part 6

hidayah-2

Sunyi. Sepanjang perjalanan dari rumah ke masjid, tiada kenderaan yang bergerak di jalan raya. Masih terlalu awal untuk semua orang keluar dari rumah mereka. Sesekali lampu kenderaan dilihat dari jauh. Pastinya menuju ke destinasi yang sama.

Sharil menunggang motosikalnya dalam kelajuan 40 km sejam. Terasa badannya sejuk dirempuh angin yang terhasil dari pergerakan motosikal tersebut. Kadang-kadang secara spontannya badannya menggeletar sejenak. Seluruh badannya menjadi panas.

Akhirnya Sharil tiba di Masjid. Enjin motosikal dimatikan. Kaki kirinya menolak tongkat motosikal ke bawah untuk dijadikan pengukuh. Helmet kepala ditanggalkan. Di tukar dengan kopiah pula.

Sharil memerhati kawasan sekeliling. Kelihatan beberapa orang keluar masuk dari bahagian tempat wuduk. Sharil lalu menuju ke arah tersebut.

Pili air dipusing . Air jernih meluncur keluar laju. Kedua-dua belah tangan di gosok-gosok. Kemudian dia mencuci bahagian hidung dan berkumur. Niat wuduk dipasang di dalam hati. Kedua-dua belah tangan ditadah. Air mula bertakung di dalam kelopok tangannya.

Bahagian muka dibasuh tiga kali. Tangan kanan dan tangan kiri juga dibasuh. Disusuli pula dengan bahagian atas kepala, kedua-dua belah telinga dan akhirnya kedua-dua belah kaki. Semuanya sebanyak tiga kali. Selesai sahaja wuduk di ambil, dia terus bergerak ke bahagian tempat solat.

Kaki memijak lantai karpet. Sharil memandang sekeliling. Macam tidak percaya sahaja dia kini berada di bahagian tempat solat untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Ya solat subuh! Solat yang dikatakan paling sukar untuk ditunaikan tambahan pula secara berjemaah.

Entah kenapa ada suatu perasaan tenang timbul di dalam hatinya. Seakan-akan semua masalahnya hilang. Tetapi dia tidak tahu perasaan tenang ini diperolehi kerana suasana pagi subuh yang tenang atau suasana masjid ataupun perkara-perkara lain. Dia tidak tahu. Kepalanya masih bingung memikirkan bagaimana dia memperoleh kekuatan untuk datang ke sini.

Kelihatan beberapa kanak-kanak juga turut serta untuk menunaikan solat. Hati Sharil tersentuh. Kecil-kecil lagi sudah berjinak ke masjid. Pasti ibu bapanya mendidik anak tersebut dengan baik.

Bilal mengalunkan iqamah. Memanggil jemaah-jemaah lain untuk bergerak bagi melakukan solat bersama. Semua jemaah mula bangun dan merapatkan saf. Sharil juga tidak terkecuali. Imam sudah bersedia untuk mengetuai solat. Takbir diangkat dan jemaah lain mengikuti.

***

Bacaan al-fatihah dari imam masjid bergema. Menggetarkan jiwa bagi setiap manusia yang ada. Sharil khusyuk mendengar. Sudah lama dia tidak mendengar ayat-ayat al-quran. Jiwa Sharil tersentuh dan sayu apabila menghayati bacaan yang sangat merdu.

Sambil Sharil mendengar sambil Sharil cuba menterjemahkan bacaan ayat yang di baca oleh imam. Dan sampai ke suatu ayat, jiwa Sharil menjadi sayu.

“Tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Iaitu jalan yang Engkau redhai, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.”

Dan bacaan tersebut di aminkan oleh seluruh para jemaah yang lain. Sharil turun mengikuti dengan perasaan penuh hiba.

Kemudian bacaan surah kedua dibaca. Diikuti pula dengan rukuk, Iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan akhirnya tahiyat akhir. Solat subuh ditunaikan sebanyak dua rakaat.

Imam memberi salam diikuti dengan para jemaah lain.

Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim. Kalimat Istighfar diulang beberapa kali oleh para jemaah.

Wirik selepas solat dilakukan. Kemudian imam membaca doa dan di aminkan oleh para jemaah. Sharil juga mengangkat tangan untuk berdoa tetapi dia berdoa khusus untuknya di dalam bahasa melayu. Dia tidak faham apa yang didoakan oleh imam memandangkan imam tersebut berdoa di dalam bahasa arab.

Selesai sahaja berdoa, mereka semua lalu bersalaman dan berlalu pergi ke haluan masing-masing. Sharil berlalu menuju ke arah motosikalnya.

Sampai sahaja dia di tempat motosikalnya. Dia lalu menghentikan langkahnya. Kopiah dikepala ditanggal. Dia lalu menghadapkan kepalanya ke atas.

Kubah besar masjid ditatapi. Kubah berwarna biru. Salah satu seni bina yang melambangkan bangunan masjid bagi penganut agama Islam.

Hatinya menjadi pilu. Dahulu masjidlah rumah kedua baginya. Dahulu masjidlah tempat dia selalu singgah untuk menuntut ilmu-ilmu dunia akhirat. Dahulu masjidlah tempat dia bersendiri dan berdua-duaan dengan tuhan yang maha esa.

Dan hari ini kenangan-kenangan tersebut kembali diingatannya. Keindahan, ketenangan, kebahagian beribadat kepada Allah menyusup kembali ke dalam hatinya.

Jiwa Sharil menjadi sayu. Seakan-akan ingin menitiskan air mata mengenang semula kenangannya yang dahulu. Kenangan bersama Allah.

 “Astaghfirullahalazim.” Kalimah agung itu berzikir di dalam hati.

Dia lalu menghidupkan motosikalnya dan menuju pulang ke rumah. Ada sesuatu yang ingin dia ketahui di rumah. Persoalan-persoalannya mengenai nasib hidupnya yang serba tidak kena sebelum ini.

Apakah kebahagiaan yang sebenarnya?

Kenapa kita hidup di dunia ini?

Apa tujuan kita di ciptakan?

Kenapa buat baik juga dapat musibah?

Kenapa ramai orang jahat hidup mewah?

Kenapa kehidupannnya tidak seperti yang dia harapkan?

Semua persoalan ini ingin dia temui jawapannya. Dan dia tahu jawapannya ada di mana.

Al-Quran.

Ya. Jawapan untuk semua persoalannya pasti ada di situ.

Apabila Hidayah di Tarik Semula – Part 5

Hidayah

Hidayah

Selesai sahaja anak kucing dibersihkan. Sharil mengambil kain untuk mengeringkan bulu anak kucing tersebut. Bau wangi singgah di hidung.

Anak kucing tersebut lalu menjilat-jilat bulunya yang tidak kering sepenuhnya. Sharil lantas bangun dan menuju ke arah dapur. Susu tepung yang memang tersedia di rumah di ambil. Sharil lalu membancuh air susu untuk memberi anak kucing tersebut minum. Kebetulan memang rumah tempat kediamannya mempunyai susu.

Susu tersebut di tuang di dalam piring. Kemudian diberikan kepada anak kucing. Anak kucing tersebut menghidu air susu yang di beri. Kemudian dengan lahapnya ia terus menjilat-jilat air susu sehingga habis. Licin.

Sharil melihat gelagat anak kucing. Hatinya tersentuh. Entah kenapa dia berasa gembira dapat menolong anak kucing tersebut. Entah kenapa perasaan bahagia menyelunup masuk ke dalam jiwanya apabila melihat anak kucing yang kelaparan minum dengan lahapnya.

Selesai sahaja air di minum. Anak kucing tersebut lalu berjalan menuju ke arah Sharil. Badannya bergesel-gesel dengan lutut Sharil. Bermanja.

Sharil hanya membiarkan sahaja. Terasa ada aura kasih sayang yang menyelunup di dalam jiwanya.

Kasih sayang.

Ya. Dia pernah merasai perasaan ini. Perasaan berkasih sayang. Perasaan bahagia. Perasaan cinta mencintai.

“Aku pernah merasai perasaan ini. Tetapi bila dan bagaimana?” Fikir Sharil.

Anak kucing di tatapi. Berbulu putih bertompokkan hitam. Berekor panjang. Ekornya sentiasa naik ke atas.

Kucing. Seekor makhluk yang tidak mempunyai dosa. Sentiasa taat akan perintahNya. Tidak ingkar dan tidak pula merungut akan takdir yang berlaku atasnya.

“Ah, apa yang aku mengarut ni. Kucing cuma binatang. Mana ada perasaan.” Sharil lalu berdiri dan menuju ke bilik.

Anak kucing tersebut berlari keanak-anakan. Mengekori Sharil dari belakang.

Sharil memandang. “Engkau nak temankan aku?” Tanya Sharil.

Anak kucing tersebut mengiau. Seakan-akan menjawab ‘Ya’.

Sharil tersenyum. Lantas anak kucing di angkat dan di bawa ke bilik bersama.

***

Terasa ada sesuatu yang hingggap di mukanya. Mata terasa dibasahi dengan cecair sejuk. Seperti di sapu dengan air. Kedengaran bunyi nafas sesuatu bergetar di telinga.

Sharil lalu membuka mata. Ah, rupanya anak kucing tersebut berada di atas mukanya dan menjilat-jilat matanya. Patutlah terasa basah.

Sharil lalu mengubah posisi baringan kepada separuh duduk. Anak kucing di letakkan di atas riba. Kepalanya di usap-usap.

“Kamu tolong kejutkan aku ye?” Sekali lagi Sharil berkomunikasi dengan ia. Memang sejak kecil lagi Sharil sudah terbiasa bercakap dengan kucing. Walaupun yang hanya di balas hanyalah bunyi ‘Meow’, tetapi Sharil boleh memahami.

Spontan Sharil menguap. Jam dinding di lihat.

“6.00 pagi? Masih awal lagi. ” Sharil lantas bangun menuju ke dapur. Terasa tekaknya kering. Hendak sambung tidur sudah tidak boleh. Terasa matanya segar pula apabila dijilat-jilat oleh anak kucing tadi.

Anak kucing mengekori.

Gelas di ambil. Air suam dalam botol di tuang. Perlahan-lahan air di teguk. Dahaganya hilang. Kemudian dia membancuh susu.

“Nah, ini untuk engkau.” Susu yang di isi di atas piring kecil di letakkan di atas lantai.

*Allahuakbar, Allahuakbar…

Azan subuh berkumandang.

Sharil memerhati luar tingkap. Masih gelap. Angin sejuk singgah di biliknya. Azan Subuh sayup-sayup kedengaran. Sudah lama dia tidak mendengar azan Subuh. Malah solat subuh juga seringkali ditunaikan selepas habis waktu. Bak kata orang, Subuh Gajah.

Kebetulan pagi ini dia bangun awal. Di kejutkan oleh anak kucing. Maka berpeluang mendengar semula azan Subuh.

Sharil melabuhkan badannya di atas katil. Kedua-dua tangannya di letakkan di belakang kepala sambil berbaring.

Kedengaran azan masih berkumandang. Seakan-akan memanggilnya.

“Ya Allah, adakah engkau mahu aku pergi ke masjid?” Sharil berkomunikasi dengan Allah.

Hakikatnya dahulu dia seringkali berhubung dengan Allah. Allah adalah penemannya sepanjang masa. Allah adalah tempat dia mengadu dikala ditimpa musibah. Tetapi disebabkan terasa terlalu banyaknya ujian yang menimpanya, keimanannya kepada Allah semakin berkurangan sehingga menjerumuskan dirinya ke lembah kemaksiatan.

Jiwa Sharil terasa lain. Terasa ada sesuatu yang ingin dia peroleh. Terasa ada sesuatu yang menyusup ke dalam jantung hatinya mengatakan yang dia perlu bergerak.

 “Mungkin aku akan dapat sesuatu sekiranya aku pergi ke masjid.” Sharil lantas bangkit semula dari katilnya. Baju melayu di pakai. Kopiah hitam yang sudah lama tidak di sentuh di ambil. Tidak di lupakan juga kunci motosikal.

“Kamu jaga rumah ok?” Kata Sharil kepada anak kucing yang dari tadi hanya duduk di tepi pintu.

Lantas Sharil turun menuju ke arah tempat motosikalnya berada. Menuju ke masjid. Cuba untuk mencari jawapan yang hilang. Cuba untuk mencari jiwa yang hilang. Dan cuba untuk mencari Allah yang hilang.

*Bersambung…

Apabila Hidayah di Tarik Semula – Part 4

Hidayah

Hidayah

Sharil berjalan keluar dari rumah. Ingin menghirup udara petang. Sesekali angin petang singgah ke arahnya. Terasa nyaman. Di lihat dari jauh kanak-kanak sedang bermain bersama dengan teman-teman mereka. Berlari berkejaran sambil gelak ketawa.

Sharil berfikir. Alangkah seronoknya sekiranya dia adalah kanak-kanak tersebut. Tidak perlu banyak berfikir. Tidak banyak masalah. Tidak berseorangan. Boleh berkongsi suka dan duka.

Sharil berjalan lagi. Selangkah demi selangkah dan akhirnya dia tiba di kedai runcit. Dia memandang kedai tersebut. Teringat pula yang dia pernah mencuri di kedai tersebut. Masih tidak luput dari ingatan dan sentiasa menghantui fikirannya.

“Rupanya mencuri tidak menenangkan.” Bisik hati Sharil. Keluhan dilepaskan.

Perjalanan Sharil di teruskan. Kini dia tiba di kawasan Masjid. Sharil menoleh ke arah bangunan Masjid. Teringat dahulu yang dia sering menunaikan solat berjemaah di situ. Mendengar imam membaca surah. Mendengar ceramah agama. Terasa tenang dan bahagia.

Tetapi sudah lama dia tidak singgah ke masjid. Jangankan solat berjemaah, solat sendirian juga dia sudah tidak tunaikan. Seringkali dia meninggalkan solat. Hanya solat sekiranya dia berasa ingin solat.

Terasa hatinya sebak mengenang semua itu.

“Adakah aku sudah melampaui batas?”

“Kalau betul Allah bersama aku, kenapa Dia biarkan aku susah dan sendirian begini?” Soal Sharil di dalam hati.

“Bukankah Allah itu tuhan. Sepatutnya mesti mudah untuk Dia menolong hamba-hambanya.” Soal Sharil lagi.

“Ah biarlah. Malas nak fikir.” Akhirnya Sharil bergerak pulang.

Persoalan Sharil tidak berjawab. Dia juga tidak tahu jawapannya. Hendak bertanya kepada orang lain, dia juga tidak tahu siapa yang boleh menjawabnya.

Perlahan-lahan Sharil melangkah longlai. Berjalan bersebelahan dengan longkang besar.

Tiba-tiba Sharil terdengar satu suara. Suara ngiauan anak kucing.

“Meow! Meow!” Suara anak kucing itu semakin kuat kedengaran. Sharil mencari-cari dari arah mana suara anak kucing tersebut datang.

Sharil menoleh ke bawah longkang. Melihat setiap kawasan longkang.

“Ah?” Sharil terperasan satu objek kecil sedang di tengelami air longkang. Terus Sharil berlari menuju ke arah tempat anak kucing tersebut berada.

Kelihatan anak kucing tersebut di basahi dengan air. Mujur sahaja airnya tidak dalam. kedalamannya hanya satu per tiga dari saiz anak kucing tersebut. Walaubagaimanpun, anak kucing tersebut perlu di selamatkan!

Kedalaman longkang tersebut sedalam tinggi saiz manusia. Sharil perlu melompat ke dalam untuk menyelamatkan anak kucing tersebut.

Tanpa berfikir panjang, Sharil terus melompat ke dalam longkang tersebut. Bahagian sisi longkang yang tidak terkena air menjadi tempat dia mendarat. Kelihatan anak kucing tersebut mengiau dan meronta-ronta meminta tolong. Sharil terus mencapai anak kucing tersebut dengan menggunakan tangan kanannya.

Anak kucing tersebut di angkat lalu di letakkan di atas. Sharil kembali memanjat longkang tersebut. Kelihatan anak kucing tersebut menggeletar. Mungkin kerana ketakutan atau kesejukan.

Timbul simpati dalam hati Sharil.

Mahu bawa ia pulang ataupun biarkan di sini sahaja?

“Anak kucing yang tidak bersalah juga mendapat musibah?” Hati Sharil berbicara.

Sharil diam seketika. Tidak tahu untuk berbuat apa. Hanya berdiri di hadapan anak kucing tersebut.

Tiba-tiba anak kucing tersebut berjalan perlahan ke arah kaki Sharil. Seakan-akan mencari tempat perlindungan. Dan mungkin apabila berada berdekatan dengan Sharil, anak kucing tersebut berasa selamat.

Hati Sharil tersentuh. Tersentuh melihat reaksi anak kucing tersebut.

“Tidak mengapalah. Aku bawa engkau balik rumah dan bersihkan kau semula.” Sharil lalu mengangkat anak kucing tersebut dan berlalu pulang.

**Bersambung…

Shinka My Love

Seekor kucing yang di bela sejak lahir lagi. Ibunya melahirkan beberapa ekor anak. Oleh kerana keluarga tidak mampu untuk menjaga bilangan kucing yang banyak, hanya seekor kucing sahaja yang di pilih untuk di jaga. Dan kucing terpilih itu adalah Shinka. Namanya di petik dari watak animasi ‘The Wild Striker.

Shinka, dari kecil sampai ke dewasa sudah banyak berjasa kepada keluarga. Sudah banyak menemani insan-insan bernama manusia. Suka dan duka di kongsi bersama.

Bermain ping-pong bersama, bermain kejar-kejar bersama, makan bersama, tidur bersama, dating bersama, berborak bersama, tangkap gambar bersama, pergi warung pak kade bersama dan macam-macam lagi.

Kenanganmu bersama kami terlampau banyak untuk di ceritakan di sini.

Semoga kenanganmu di hati kami tidak akan pudar.

Terima kasih Shinka.